.

Ramadan 2020

Tidak lama lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut kedatangan bulan Ramadan, bulan penuh keberkatan yang sangat dinanti – nantikan oleh umat Islam. Bagi umat Islam di Malaysia, tarikh permulaan puasa tahun ini dijangka pada 24 April 2020 dan pengumuman secara rasmi akan dilaksanakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja – Raja setelah proses melihat anak bulan dilakukan. Pengumuman akan dibuat pada 23 April 2020 bersamaan 29 Syaaban 1441H. 

 

Dalam kalendar Islam, bulan Ramadan merupakan bulan kesembilan dan merupakan bulan yang penuh keberkatan. Pada bulan Ramadan, setiap umat Islam akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadah puasa, doa serta ibadah sunat lain dan mereka yang melaksanakannya akan mendapat pahala berlipat ganda. Ayat Al – Quran pertama telah diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W pada bulan Ramadan.

 

Kewajipan Berpuasa

Berpuasa pada bulan Ramadan adalah wajib dilakukan oleh seluruh umat Islam, tidak kira di mana mereka berada dan mestilah memenuhi syarat. Puasa bermaksud menahan diri daripada sebarang makanan, minuman, serta perkara – perkara yang boleh membatalkan puasa dan mestilah diiringi dengan niat hanya untuk Allah sahaja. 

 

Puasa bermula sebelum terbitnya fajar, sekitar jam 5.50 pagi bergantung kepada waktu solat terkini pada bulan Ramadan tahun ini. Sebelum memulakan ibadah puasa setiap hari, setiap umat Islam disunatkan untuk makan pagi (sahur) dan hanya boleh berbuka puasa (makan) setelah matahari terbenam (Maghrib). Ia berlangsung selama 30 hari iaitu sepanjang bulan Ramadan.

 

Golongan Yang Dilarang Berpuasa

Biarpun puasa merupakan satu kewajipan  buat umat Islam, namun terdapat beberapa golongan yang dikecualikan dari berpuasa atas alasan tertentu. Berdasarkan Surah Al-Baqarah (2:185), Allah telah menjelaskan bahawa orang sakit dan musafir dikecualikan daripada berpuasa pada bulan Ramadan. Malah, menurut ulama, golongan berikut turut dikecualikan dari berpuasa.

  1. Pesakit mental dan fizikal 
  2. Musafir
  3. Wanita haid
  4. Wanita hamil atau sedang menyusukan
  5. Orang tua (sekiranya berpuasa akan memudaratkan)
  6. Kanak-kanak yang belum baligh

 

Ramadan 2020 Yang Berbeza

Umum mengetahui, wabak Covid-19 telah melanda di seluruh dunia dan bagi membendung dari wabak ini terus merebak, Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 April 2020 pada fasa pertama. Tempoh PKP telah dilanjutkan ke fasa 3 iaitu sehingga 28 April 2020 dan melepasi awal Ramadan. Memandangkan permulaan Ramadan berada dalam tempoh PKP fasa 3, kedatangan Ramadan disambut dengan suasana yang berbeza pada tahun ini. Beberapa perkara yang sering dilakukan pada bulan Ramadan, kini tidak dapat dilakukan pada tahun ini, antaranya :

  • Umat Islam tidak dapat berbuka puasa dan solat berjemaah di surau atau masjid kerana tiada sebarang perhimpunan beramai – ramai dibenarkan
  • Tiada i’tikaf dalam masjid sepanjang Ramadan 2020, walau bagaimana pun ia juga boleh dilakukan di rumah masing – masing
  • Solat Terawikh tidak dapat dilakukan di surau atau masjid bersama – sama, namun hanya boleh dilaksanakan di rumah sahaja
  • Tadarus Al – Quran dan Qiamullail tidak dapat dilakukan beramai – ramai di surau atau masjid, hanya boleh dilakukan di rumah sahaja
  • Tiada bazar Ramadan dianjurkan sepanjang Ramadan bagi mencegah wabak Covid – 19 


Umat Islam perlu memberi perhatian terhadap ibadah yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan. Biarpun keadaan yang berbeza pada tahun ini, namun ia bukanlah halangan bagi umat Islam untuk meneruskan ibadah yang diwajibkan seperti umat terdahulu. Ketiadaan bazar Ramadan sepanjang bulan puasa dapat mengelakkan pembaziran berlaku kerana rata – rata yang mengunjungi bazar Ramadan akan membeli pelbagai makanan yang diluar jangkaan. Ia dapat menjimatkan kos perbelanjaan, malah dengan menyediakan hidangan berbuka puasa sendiri di rumah adalah lebih baik serta kebersihan makanan yang lebih terjamin.

 

Solat Terawikh yang tidak dapat dilaksanakan di masjid – masjid dan surau, bukanlah halangan untuk tidak melakukannya di rumah. Dengan penutupan masjid dan surau dapat memberi peluang kepada para ketua keluarga mengetuai / mengimamkan solat fardhu dan sunat Terawikh secara berjemaah di rumah. Malah, aktiviti bertadarus bersama keluarga juga dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Semoga kehadiran bulan Ramadan pada tahun 2020 ini memberi rahmat yang begitu bermakna kepada seluruh umah Islam.