.

Covid dan Hari Raya 2020

Tahun ini, umat Islam di Malaysia dijangka akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 24 Mei 2020. Walau bagaimana pun, sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini mungkin berbeza dari tahun sebelumnya. Bermula 18 Mac 2020, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak Covid-19 yang melanda di seluruh dunia termasuklah negara kita. Sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, masih terdapat sebilangan kecil masyarakat yang masih tidak prihatin dengan situasi semasa dan bersikap sambil lewa. Memandangkan sikap segelintir yang tidak memberi kerjasama sepenuhnya, maka tempoh PKP telah dilanjutkan ke fasa 3 iaitu sehingga 28 April 2020. Tempoh PKP ini juga bergantung kepada wabak Covid-19 semasa, sekiranya perkembangan positif ditunjukkan dari masa ke semasa, mungkin tempoh PKP akan berakhir, namun semuanya bergantung kepada keputusan yang akan diputuskan oleh YAB Perdana Menteri menjelang berakhirnya tempoh PKP fasa 3 nanti.

 

Namun, Perintah Kawalan Pergerakan ini disarankan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Twitter@MarkasATN agar ianya diteruskan sehingga akhir bulan Syawal dan tiada sebarang sambutan Aidilfitri diadakan. Ia bertujuan bagi mengelakkan orang ramai balik ke kampung masing – masing dan berkumpul beramai – ramai yang boleh memburukkan lagi keadaan dengan penyebaran virus Covid-19 ini. Sekiranya orang ramai mula berkumpul, virus ini mungkin dipindahkan kepada orang ramai tanpa disedari kerana telah ada pembawa virus dalam komuniti yang tidak memiliki simptom seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Cadangan untuk menyambung tempoh PKP ini turut disarankan oleh kumpulan doktor melalui Akademi Perubatan Malaysia. Penjarakkan sosial yang disarankan sebelum ini akan menjadi perbuatan sia – sia sekiranya rakyat dibenarkan menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing – masing. Tanpa disedari, semasa sambutan Aidilfitri akan berlakunya pertemuan bersama sanak – saudara serta sahabat handai, kunjung – mengunjung dan salam bersalaman akan terjadi. Secara tidak langsung, berkemungkinan ada yang dijangkiti dan menjangkiti antara satu sama lain. Oleh itu, rangkaian wabak ini akan menjadi semakin sukar untuk diputuskan dan akan merebak dengan mudah.

 

Pada tahun ini, tiada sebarang solat sunat Aidilfitri akan diadakan di mana – mana masjid atau surau dan tiada khutbah Aidilfitri akan kita dengari di pagi Syawal. Situasi ini ternyata berbeza kerana setiap orang tidak dibenarkan berkumpul beramai – ramai di satu – satu tempat. Seperti mana arahan pihak kerajaan, tiada sebarang perhimpunan dibenarkan dan kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersatu padu menangani isu Covid-19 ini bersama – sama. Pengorbanan setiap rakyat Malaysia terutamanya yang akan menyambut Aidilfitri pada Mei depan adalah sangat diperlukan bagi memastikan rangkaian Covid-19 dapat diputuskan dan tidak terus merebak. Biarpun tidak dapat berkumpul bersama insan tersayang pada Hari Raya Aidilfitri nanti, namun adalah sangat penting buat kita semua dari terus menyebarkan virus ini tanpa disedari terutamanya kepada golongan warga emas yang memiliki antibodi yang agak lemah kerana lebih mudah dijangkiti. Sekiranya kita sayangi ahli keluarga masing – masing, penjarakkan sosial perlu diteruskan dan ianya sangat penting sehingga negara kita benar – benar telah pulih dari ancaman virus Covid – 19 ini.