EKasih
Tanggal 31 Oktober 2007, sistem eKasih mula diperkenalkan dalam salah satu Mesyuarat Kabinet dan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 1 November 2007. eKasih merupakan sistem pangkalan data yang diwujudkan di peringkat nasional adalah bagi mengumpul maklumat keluarga yang berada pada paras kemiskinan negara. Ia mengandungi pelbagai maklumat yang terdiri dari profil individu, bantuan yang diterima oleh Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) daripada mana – mana agensi serta permohonan bantuan dan pemantauan keberkesanan program / bantuan yang telah diterima. Malah, komponen data eKasih juga terdiri daripada maklumat asas seperti maklumat lokasi kediaman, taraf pendidikan, kemahiran dan pekerjaan, pemilikan harta, kesihatan, pendapatan serta bantuan.
Kewujudan eKasih ini bagi membantu kerajaan membuat perancangan, pelaksanaan serta pengawalan program kemiskinan buat keluarga yang layak. Bagi menjayakan program ini, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) telah dipertanggungjawabkan untuk membangunkan sistem eKasih ini dengan sebaiknya sebelum ia boleh digunakan pada Jun 2008. Pemberian bantuan melalui eKasih hanya layak untuk mereka yang berada dalam kumpulan miskin tegar
Maklumat yang terdapat dalam eKasih adalah berdasakan Banci Isi Rumah Miskin (BIRM) yang telah dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dan hasilnya di berikan kepada pihak ICU JPM sebagai input utama. Bancian yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia ini dilakukan dengan pendekatan isi rumah dan juga bukan orang perseorangan. Ia dilakukan dalam dua fasa iaitu Fasa 1 dan Fasa 2.
Fasa 1
Data perangkaan diambil dari senarai terbaru yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan juga Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), di mana ianya telah dilakukan mulai Disember 2007 hingga Jun 2008 secara menyeluruh yang meliputi kawasan bandar dan luar bandar. Walau bagaimana pun, terdapat sesetengah kawasan yang tidak dapat dibanci seperti penempatan Orang Asli, kawasan FELDA, kawasan estet serta ladang yang diurustadbir sendiri.
Fasa 2
Pengesahan senarai kelompok yang dianggap miskin adalah berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Ahli atau Dewan Undangan Parlimen serta Agensi Negara mulai Januari 2008 hingga Julai 2009. Pendaftaran terbuka isi rumah turut menjadi sumber maklumat yang boleh dimasukkan ke dalam sistem eKasih. Mungkin turut berlaku keciciran maklumat oleh kerana beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan seperti proses perangkaan yang tidak teliti, kawasan liputan serta beberapa faktor lain. Dalam fasa ini, pihak kerajaan turut bekerjasama dengan Badan Bukan Berkanun, Badan Kebajikan, serta melaksanakan program pengurangan kemiskinan bersama agensi untuk mendaftar individu atau isi rumah yang layak.
Ciri-ciri utama eKasih
- Membuat semakan status kemiskinan secara online
- Membuat penyelarasan maklumat bantuan
- Mengemaskini maklumat kemiskinan secara online
- Membuat pengiraan Status Kemiskinan (miskin / miskin tegar) berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) per kapita secara automatik
- Menjana laporan dan statistik kemiskinan
- Poverty mapping serta pemantauan kemiskinan
Syarat Kelayakan
- Berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), isi rumah yang berstatus miskin adalah layak untuk dimasukkan ke dalam sistem eKasih dengan pendapatan bulanan RM 1,000 sebulan di kawasan luar bandar manakala RM 1,500 di kawasan bandar.
Cara Pendaftaran
- Pendaftaran boleh dibuat secara manual atau online.
- Sekiranya ingin membuat pendaftaran secara online, pemohon boleh membuat pendaftaran melalui laman web rasmi eKasih iaitu di https://ekasih.icu.gov.my/Pages/Default.aspx
- Bagi pendaftaran secara manual pula, pendaftaran boleh dibuat melalui Pejabat Daerah / Jabatan Pembangunan Persekutuan / Pejabat Pembangunan Persekutuan yang berhampiran.
- Setelah pendaftaran dibuat, pegawai dari Pejabat Daerah akan datang ke kediaman pemohon untuk membuat lawatan serta siasatan bagi memastikan samada keluarga pemohon layak mendapat status eKasih atau tidak.
Aplikasi Mobile eKasih
Sebuah aplikasi yang dikenali sebagai Mobile eKasih jug telah dibangunkan bagi memudahkan perangkawan di ICU JPM membuat pemutihan data eKasih di kawasan lapangan secara real – time. Penggunaan aplikasi ini lebih mudah serta efisien. Tujuan aplikasi ini dibangunkan adalah supaya :
- Data eKasih adalah tepat dan terkini
- Dapat mempercepatkan serta memudahkan proses pengemaskinian data eKasih
- Dapat memantapkan perancangan serta pelaksanaan program membasmi kemiskinan
- Dapat mempercepatkan penyaluran bantuan kepada golongan sasar
Pemohon yang telah membuat pendaftaran eKasih boleh membuat semakan nama dengan menghubungi samada ICU JPM atau Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Wilayah Persekutuan dengan memberikan maklumat seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon, atau alamat e-mel atau alamat tempat tinggal yang boleh dihubungi. Walau bagaimana pun, eKasih ini dibangunkan bagi membantu agensi memberi bantuan serta membuat keputusan yang telus sekiranya pemohon adalah layak mendapat bantuan. eKasih tidak diwujudkan untuk memberi sebarang bantuan kepada pemohon. Ketua Isi Rumah (KIR) yang memerlukan bantuan adalah perlu memohon secara terus daripada agensi yang telah dipertanggungjawabkan.