.

Cara Halau Lipas

Serangga ini bersaiz kecil, namun kebanyakan antara kita pastinya merasa gerun jika melihat kelibatnya terbang serta menyelinap di atas kepala. Baunya yang busuk pastinya membuatkan ramai tidak selesa dengan kehadirannya. Lipas merupakan serangga pembawa kuman. Kehadiran lipas boleh menyebabkan beberapa penyakit pada manusia seperti cirit-birit, alahan kulit, keracunan makanan, jangkitan pada salur kencing, keradangan pada badan kerana rembesan air liur dan badan lipas yang mengandungi elergen di badannya. Kebiasaannya ia tinggal di tempat yang gelap dan tersembunyi seperti di celah almari, bawah peti ais, tempat yang sejuk dan lembab, tangki najis dan juga tempat – tempat lain. Jom kita cuba petua di bawah untuk menghalau lipas di rumah.

 

Air Sabun

Campurkan air dan sabun. Kemudian, masukkan ke dalam botol semburan. Sembur di kawasan yang sering terdapat lipas dan sebaiknya sembur secara terus ke arah lipas yang berkeliaran. Kaedah ini akan menyebabkan lubang pernafasan lipas akan tertutup seterusnya menyebabkan ia mati. Air sabun adalah kaedah lebih selamat yang dapat menggantikan bahan kimia serta boleh membunuhnya.

Daun Pandan

Ambil beberapa helai daun pandan, hiris nipis atau koyakkannya. Letak di kawasan yang banyak lipas seperti di celah almari, dalam laci atau Kabinet dapur. Aroma daun pandan membuatkan lipas lari dan tidak membiak lagi.

Buah Pelaga dan Kulit Kayu Manis

Tumbuk beberapa biji buah pelaga serta kulit kayu manis. Taburkan di kawasan yang tersorok serta gelap bagi menghalau lipas yang berkeliaran.

 

Timun

Potong pangkal dan hujung timun. Kemudian, letakkannya di kawasan yang menjadi tumpuan lipas.

Lemon

Ambil beberapa biji buah lemon, hiris nipis dan letakkan di tempat yang menjadi tempat kegemaran lipas seperti dalam laci, kabinet dapur dan celah – celah almari. Selain dapat menghalau lipas, ia juga mampu menghasilkan aroma segar. Hirisan lemon akan kering setelah beberapa hari, gantikan hirisan yang baru.  

Daun Salam

Daun Salam atau juga dikenali sebagai daun bay juga boleh digunakan untuk menghalau lipas. Tumbuk lumat beberapa helai daun salam. Taburkan di kawasan yang terdapat lipas.

Sodium Bikarbonat atau Baking Soda dan Gula

Campurkan kedua bahan ini dengan nisbah 1:1. Taburkan di kawasan yang terdapat lipas. Kehadiran gula akan menarik lipas untuk makan manakala sodium bikarbonat pula akan membunuh lipas tersebut.

Serai Wangi

Ambil beberapa batang serai wangi, siatkan batangnya dan letakkan di bahagian yang terdapat lipas. Aroma serai wangi akan membuatkan lipas menghindari kawasan tersebut.

Asid Borik dan Gula

Campurkan tiga bahagian asid boric dan gula sehingga sebati. Sembur ke bahagian yang sering terdapat lipas seperti di bawah sinki, celah almari dan sebagainya.

Ubat gegat

Guna ubat gegat kerana aromanya yang agak kuat dapat menghalau lipas kerana mengandungi bahan kimia seperti naftalin dan paradiklorobenzin. Paling sesuai di letak di dalam bilik air dan juga almari pakaian.

Lavender

Lipas tidak suka kepada bau lavender. Campurkan pati minyak lavender dengan air, kemudian semburkan ke kawasan yang menjadi tumpuan lipas.

Pudina

Daun pudina mengandungi kepekatan mentol serta aroma yang menyegarkan boleh membunuh lipas. Hanya campurkan minyak pudina bersama air dan sembur di seluruh kawasan rumah.

Pokok Catnip

Pokok Catnip menghasilkan sejenis minyak yang dikenali sebagai nepetalactone dan sangat ditakuti lipas. Hanya perlu rebus beberapa helai daun catnip selama 10 minit, kemudian masukkan dalam botol penyembur. Sembur di kawasan yang terdapat lipas.

Gam selotip

Letakkan gam selotip di kawasan gelap yang menjadi laluan lipas serta di permukaan lantai sebagai perangkap. Lipas yang melalui kawasan tersebut akan melekat pada selotip dan tidak dapat terbang atau bergerak lagi.

Bunjut Penghalau Lipas

Ambil 3-4 kuntum bunga lawang, ½ sudu teh bunga cengkih, 1/3 teh lada hitam dan sedikit minyak urut. Campurkan kesemua bahan di atas kain net kecuali minyak urut. Ikat kain net tersebut sehingga menjadi bunjut dan renjis sedikit minyak urut. Akhir sekali, tempatkan bunjut tersebut di sudut kabinet atau ruang kediaman.

 

DIY Perangkap lipas

Campurkan bahan – bahan yang terdapat di rumah seperti minyak masak, marjerin dan susu pekat ke dalam bekas kosong. Tempatkan ia di kawasan yang menjadi tumpuan lipas. Susu pekat bertindak sebagai umpan manakala minyak pula sebagai perangkap lipas kerana ia akan menyukarkan lipas sukar untuk melarikan diri.

 

Anda bolehlah mencuba salah satu petua di atas.  Walau bagaimana pun, kebersihan di sekitar kawasan rumah juga perlu dijaga setiap masa bagi mengelakkan kehadiran lipas pada masa akan datang.