.

Ebit Lew Terkejut Dengan Soalan “Tuhan Tu Apa?”, Seramai 157 Suku Bajau Ucap Syahadah

Ebit Lew tidak pernah menduga kehadirannya di Pulau Tatagan Semporna telah membawa perubahan besar kepada 157 orang suku Bajau Laut atau gipsi laut di mana mereka ini telah mengucap syahadah di hadapannya. Apa yang berlaku bukanlah suatu paksaan, namun kesemua 157 orang ini memeluk Islam dengan rela hati. Suku Bajau Laut ini tinggal di dalam bot atau pondok kecil di atas laut sebagai tempat perlindungan.

 

Tujuan asal Ebit Lew ke Pulau Tatagan Semporna adalah untuk menghantar bantuan kerana dikatakan penduduk di situ telah terputus bekalan makanan dan keadaan mereka yang agak susah menyukarkan untuk mendapatkan stok makanan bagi meneruskan kehidupan. Suku Bajau Laut merupakan masyarakat tanpa negara. Melihatkan keadaan mereka yang susah dengan anak kecil yang asyik menangis, begitu meruntun hati. Mereka ini telah berebut antara satu sama lain untuk mendekati beliau tatkala melihat kehadiran Ebit Lew membawa bekalan makanan untuk diagihkan,. Menurut suku Bajau, anak – anak yang dilahirkan hanya akan diberikan nama setelah berumur setahun. Ini kerana anak kecil di bawah umur setahun berhadapan dengan risiko kematian yang tinggi. 

 

Tidak menduga sama sekali, suku Bajau ini telah bertanya kepada Ebit Lew tentang ‘siapa Tuhan? Tuhan itu apa?. Beliau merasa sebak dengan pertanyaan tersebut dan Ebit Lew bersama penterjemah Bahasa telah bertanya kepada mereka sama ada terdapat mana – mana pihak menerangkan kepada mereka tentang agama. Jawapan yang diberikan adalah tiada dan tidak tahu membuatkan Ebit Lew sekali lagi merasa sebak. Malah, mereka juga meminta agar Ebit Lew menerangkan kepada mereka tentang Tuhan dan agama.

Ebit Lew mengumpulkan kesemua mereka di sekeliling bot, menerangkan serba sedikit tentang Tuhan dan agama. Mereka mendengarnya dan percaya dengan kata – kata yang disampaikan oleh Ebit Lew. Lantas, Ebit Lew mengajar mereka mengucapkan syahadah dan mereka menurutinya. Ebit Lew berasa sedih dan gembira pada ketika itu dan berterima kasih kepada Allah.

Ebit Lew berjanji akan terus membantu menyalurkan makanan kepada seluruh kampung atas laut. Beliau juga berjanji untuk membina sekolah bagi anak – anak ini belajar. Malah, Ebit Lew juga sedang mencari guru agama untuk mengajar mereka. Doa Ebit Lew agar Allah permudahkan dirinya membantu mereka serta memastikan anak – anak ini menjadi insan yang berguna suatu hari nanti.