.

Pengalaman Memancing Di Tasik Kenyir

Plan untuk memancing di Tasik Kenyir telah lama dirancang, namun sering sahaja ditunda atas kekangan jadual masing – masing. Dengan izinNya, kami seramai 12 orang berpeluang juga menjejakkan kaki di Tasik Kenyir dan menimba pengalaman di bumi Tuhan yang indah serta cukup mempesonakan.

Hari Perjalanan

Tanggal 21 Mei 2019, kami telah memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuala Berang, Terengganu. Perjalanan kami mengambil masa kira – kira 6 jam dan kami bertolak pada tengah malam lebih kurang jam 12.00 tengah malam. Kami tiba di Kuala Berang lebih kurang jam 6.00 pagi dan mengerjakan solat Subuh di Kuala Berang sahaja. Selesai membersihkan diri ala kadar dan solat, kami singgah pula di Pasar Besar Kuala Berang untuk membeli keperluan untuk memasak sepanjang kami menginap di Tasik Kenyir nanti, maklumlah tiada restoran di Tasik Kenyir nanti. Setelah membeli sedikit ayam, telur, udang, sotong, sayur serta bahan – bahan asas lain, kami menyambung perjalanan ke Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.

Hari Pertama di Tasik Kenyir

Tiba sahaja di Pengkalan Gawi, kami singgah bersarapan dahulu sebelum menaiki bot. Perut masing – masing pun sudah kelaparan, jadinya perlu diisi terlebih dahulu. Nanti ada yang pitam pula. Setelah bersarapan dan berehat seketika sambil menunggu bot, kami sempat berselfie dahulu. Kami meletakkan kereta di Lawit Lodge Hotel Budget dengan bayaran masuk RM 10 sahaja.

Seperti yang dijanjikan, krew bot tiba untuk mengambil kami di jeti pada jam 12.00 tengahari. Memang panas terik masa tu, tapi memandangkan semuanya tengah excited panas pun ok sahaja. Kalau anda nak tahu, Tasik Kenyir sebenarnya tasik buatan manusia dan dijadikan sebagai pusat hidroelektrik dan bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku di Terengganu. Tasik Kenyir ini telah dibina pada tahun 1978 hingga 1985 kini menjadi antara destinasi percutian ramai. 

Kami menyewa houseboat yang dikendalikan oleh Seri Gawi Enterprise. Begitu selesa houseboat yang disediakan, tambahan pula krew botnya begitu ramah dan sangat membantu. Houseboat kami dilengkapi dengan kemudahan asas seperti kemudahan tandas, bilik air, ruang menonton tv, dapur dan peralatan memasak, ruang tamu, ruang makan, peti sejuk, bilik tidur yang lengkap dengan kipas angin dan katil. Sesi masak memasak perlu diuruskan sendiri kerana tidak disediakan oleh krew bot, tetapi segala peralatan memasak disediakan untuk kegunaan tetamu. Yang penting bahan untuk memasak mestilah dibawa siap – siap semasa menginap di sini. Harga pula sangat berpatutan dan boleh check harga di Facebook Houseboat Tasik Kenyir/Seri Gawi Enterprise.

 

Kami dibawa menuju ke Sungai Cacing, lubuk ikan katanya. Sepanjang menuju ke Sungai Cacing, kami menikmati pemandangan alam ciptaan Tuhan yang begitu indah serta sukar diungkapkan dengan kata – kata. Ada juga antara rakan yang mengambil peluang untuk berehat di bilik tidur masing – masing kerana perjalanan untuk tiba di lokasi mengambil masa kira – kira 4 jam. Sambil menanti tiba di Sungai Cacing seperti yang disarankan kapten bot, ada yang ditugaskan untuk menyediakan minum petang untuk kami semua.

 

Seusai tiba di kawasan Sungai Cacing dan bot pun berlabuh, masing – masing sudah tidak sabar untuk melontarkan mata kail, dengan harapan ikan – ikan di Tasik Kenyir ini merentap umpan yang dikenakan.

 

Ada yang sudah siap memasang umpan dan tidak sabar melontar joran. Bermacam jenis umpan yang dibawa kali ini. Kelihatan kehadiran berpuluh ekor lampam berhampiran houseboat kami. Meriah betul kelihatan mereka berenang – renang di tepian bot. Krew houseboat kami ada menyediakan buah sawit peram yang digunakan untuk menarik perhatian ikan – ikan yang berada di dalam tasik. Baunya kurang menyenangkan, masam dan busuk tetapi harum untuk ikan – ikan di tasik seperti baung, terbul, kelah dan  lampam. 

 

Sambil menunggu umpan mengena, ada yang berbual kosong dan ada juga yang menikmati hidangan minum petang yang telah disiapkan. Tidak perlu menunggu lama, 5 ekor ikan lampan dan seekor baung berjaya ditawan. Cubaan untuk menarik perhatian kelah gagal pada petang itu. Aktiviti memancing dihentikan buat seketika tatkala tibanya waktu Maghrib untuk solat dan makan malam. 

 

Batang jorang kembali dilontarkan ke tasik untuk meneruskan aktiviti memancing. Suasana agak sunyi yang kedengaran hanyalah bunyi unggas serta cengkerik yang memecah kesunyian malam. Kedinginan malam tidak menghalang kami meneruskan aktiviti memancing ini. Hampir sejam menunggu, mata kail salah seorang dari kami direntap seekor belida bersaiz sederhana. Perasaan girang dan semangat terus menerpa ke dalam jiwa. Bukan kaleng – kaleng boleh dapat belida di sini.

 

Kami masih lagi setia menanti mata kail mengena, namun untuk sejam berikutnya mata kail direntap sekali lagi. Joran ditarik apabila umpan mula dimakan sang ikan. Di saat menarik joran untuk menaikkan ikan dari tasik, tiba – tiba tali joran direntap kuat dan terputus. Maka, terlepas la seekor ikan yang tidak pasti ikan apa, namun anggaran berat sekitar 5 kilo. Terasa agak kecewa, namun semangat untuk memancing masih terus melonjak dengan harapan kali ini akan bertambah hasil pancingan. Sehingga awal Subuh, ada yang masih setia memancing, dan ada antara kami yang sudah pun beradu di bilik tidur masing – masing.

 

Hari Kedua

Seusai sarapan pagi, ada antara kami yang masih belum puas memancing melontarkan joran masing – masing sebelum houseboat kembali ke jeti semula untuk kami pulang. Tidak menunggu lama, dua ekor sebarau, 3 ekor lampam, seekor toman dan seekor lagi baung berjaya dipancing pagi itu. Hati gembira bukan kepalang lagi kerana ada tambahan hasil sebelum kami berangkat pulang. Ternyata tidak sia – sia joran dilontarkan. Walaupun kecewa kerana tidak berhasil mendapatkan walau seekor kelah, namun kami gembira dengan hasil pancingan kali ini. 

 

Setelah berpuas hati, kami mula mengemas barang tangkapan dan barang – barang lain sambil berehat tatkala houseboat mula bergerak menuju ke jeti. Jam 11.00 pagi kapten bot mula bergerak menuju ke jeti semula. Ikan – ikan yang berjaya dipancing dimasukkan ke dalam kotak ais supaya sentiasa segar untuk dibawa pulang. Keindahan alam sekeliling dengan air tasi yang menghijau membuatkan kami semua terpesona dengan ciptaanNya. Setibanya sahaja di jeti Pengkalan Gawi, kami bersiap untuk pulang ke rumah masing – masing menaiki kereta yang telah ditelakkan di Lawit Lodget Budget Hotel.

 

Tips untuk kaki – kaki pancing yang ingin memancing di Tasik Kenyir, kalau nak memancing  ikan kelah, baung, toman dan belida di Tasik Kenyir, waktu yang paling sesuai untuk datang memancing antara bulan 5 hingga bulan 9 setiap tahun. Bagi yang mencari ikan sebarau, boleh datang memancing pada bulan 10 sampai bulan 4 sebab masa ini air dari empangan akan naik akibat hujan di musim tengkujuh.