.

Cara Membuat Kebenaran Beroperasi Dengan Surat MITI

Memandangkan Malaysia masih lagi berhadapan dengan pandemik Covid-19, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKP 3.0 di beberapa daerah di negeri Selangor. Walau bagaimana pun, terdapat lima sektor ekonomi perlu (essential service) termasuk kilang dan sektor pembuatan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP. Namun, sebelum meneruskan operasi, sektor ini perlu mendapatkan surat kebenaran dari MITI terlebih dahulu.

Keputusan membenarkan pengoperasian lima sektor ini adalah bagi menjamin ekonomi negara terus berjalan, mengelakkan kadar pengangguran meningkat kerana kehilangan pekerjaan, kemampanan perniagaan serta dapat memastikan kehidupan rakyat Malaysia berada pada tahap yang terbaik dan terus mendapat akses keperluan asas sepanjang tempoh PKP.

 

Bagi mengelakkan kadar penularan virus, pihak MITI menggalakkan agar pemohon mencetak surat kebenaran terbaru bagi PKP 3.0 sebagai persediaan sekiranya premis atau tempat kerja diperiksa oleh pihak berkuasa. Sekiranya semasa PKP 1.0 anda pernah mendaftar melalui sistem CIMS 2.0, surat kebenaran tersebut tidak boleh digunakan lagi semasa PKP 3.0 dan ianya secara automatik telah terbatal. Walau bagaimana pun, anda tidak lagi perlu membuat pendaftaran baru, cuma perlu memuat turun surat pengesahan pendaftaran terkini dengan los masuk ke sistem CIMS 3.0menggunakan ID pengguna serta kata laluan yang sama.

 

Cara Membuat Pendaftaran CIMS 3.0

  1. Layari portal rasmi MITI di https://www.miti.gov.my
  2. Klik butang CIMS 3.0 dan Permohonan untuk syarikat bagi meneruskan operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dipaparkan
  3. Klik butang Daftar dan klik butang Senarai SOP Terkini
  4. Pastikan anda telah membaca SOP MITI dan sekiranya bersetuju dengan SOP tersebut, klik pada kotak pengesahan
  5. Kemudian, isikan maklumat yang diperlukan seperti berikut :
  • Nama penuh
  • Alamat emel
  • Nombor kad pengenalan atau nombor passport
  • Masukkan kata laluan, kemudian masukkan sekali lagi kata laluan tersebut
  • Masukkan No Pendaftaran SSM / No Lesen Pengilang dan No Ahli Badan Professional / Pesuruhjaya Sukan / ROS / ROY
  1. Setelah selesai mengisi maklumat tersebut, klik butang Daftar
  2. Anda akan menerima surat pengesahan pendaftaran syarikat dan kebenaran beroperasi MITI

 

Cara Memuat Turun Surat Kebenaran Beroperasi Dari MITI

  1. Log masuk ke portal MITI di https://notification.miti.gov.my
  2. Klik Borang Notifikasi > Notifikasi Beroperasi
  3. Status permohonan akan dipaparkan dan kemudian klik butang Papar
  4. Klik butang Cetak Surat untuk mencetak Surat Kebenaran MITI

 

Maklumat Lanjut

Anda boleh berhubung terus dengan pihak MITI sekiranya terdapat sebarang persoalan melalui laman web rasmi MITI di http://www.miti.gov.my, laman Facebook di https://www.facebook.com/MITIMalaysia atau talian telefon di 03-62084949.

Kesimpulan

Majikan yang ingin meneruskan operasi perniagaan adalah perlu mendapatkan surat kebenaran dari pihak MITI terlebih dahulu. Sekiranya pihak majikan meneruskan operasi tanpa mendapat kebenaran dari MITI, majikan boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa. Setiap majikan juga perlu memuat turun surat pengesahan pendaftaran bagi membolehkan pekerja bergerak dari rumah ke tempat kerja dan sebaliknya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak majikan untuk memastikan setiap pekerja sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ini.