.

Bantuan Awal Persekolahan KPM RM 100

Sejak tahun 2012, Kementerian Pendidikan Malaysia telah pun memperkenalkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada para pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5 dan juga yang setaraf dengannya. Bantuan ini diberikan kepada pelajar yang tergolong dalam keluarga yang berpendapatan rendah. Sebanyak RM 100 akan diberikan pada awal tahun bagi meringankan kos perbelanjaan bagi menyediakan kelengkapan persekolahan anak – anak. Permohonan ini terbuka kepada semua pelajar, namun mestilah memenuhi syarat dan kriteria kelayakan yang telah ditetapkan.

 

Syarat dan Kriteria Kelayakan

Bagi mendapatkan Bantuan Awal Persekolahan, terdapat beberapa syarat dan kriteria berikut perlu dipatuhi iaitu :

  • Murid/pelajar merupakan warganegara Malaysia (perlu mengemukakan bukti kewarganegaraan samada sijil kelahiran/mykid/mykad atau dokumen pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara)
  • Murid/Pelajar dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf
  • Pendapatan kasar bulanan isi rumah ibu bapa/penjaga sebanyak RM 3000 dan ke bawah pada tahun semasa
  • Murid/pelajar bersekolah di Sekolah Kerajaan (SK) atau Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK)

 

Cara Memohon

  • Tiada sebarang permohonan perlu dibuat oleh murid/pelajar kerana pihak sekolah akan menyenaraikan nama murid/pelajar berdasarkan rekod maklumat peribadi murid/pelajar
  • Walau bagaimana pun, bagi yang tidak pernah menerima bantuan tersebut boleh membuat permohonan melalui borang yang disediakan

 

Pengagihan Bantuan

Bantuan akan disalurkan mulai bulan Januari hingga Jun bagi sesi persekolahan tahun semasa. Biasanya, bantuan tersebut akan disalurkan secara berperingkat seawal 4 Januari tahun semasa dan disalurkan melalui Akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) sekolah atau Akaun Khas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi sekolah yang tidak mempunyai Akaun KWK. Tarikh pengagihan bantuan ini akan ditentukan oleh pihak sekolah setelah menerima wang bantuan tersebut. Bantuan akan diagihkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh wang tersebut dikreditkan ke akaun KWK sekolah. 

 

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui laman web rasmi KPM iaitu di https://www.moe.gov.my/en/bantuan-pembelajaran-menu/bantuan-awal-persekolahan-bap