.

PERMOHONAN UNTUK KEMUDAHAN BANTUAN KHAS (SRF) MELALUI IMSME

Ramai pengusaha Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) turut terkesan dengan penularan wabak Covid-19 ini, di mana kerajaan memutuskan agar semua rakyat perlu menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani wabak ini. Sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan, pelbagai sektor tidak dapat meneruskan urusniaga seperti biasa bagi melaksanakan PKP ini. Ia secara tidak langsung turut menjejaskan pendapatan para peniaga / usahawan semasa tempoh PKP ini berlangsung dan tempoh perlanjutan PKP pula telah disambung hingga ke fasa 3. 

 

Kerajaan telah menyediakan kemudahan pembiayaan buat para usahawan PKS yang terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini. Oleh yang demikian, Bank Negara Malaysia telah menyediakan pembiayaan khas di bawah Tabung BNM untuk Perusahaan Mikro, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia bagi membantu golongan usahawan meneruskan perniagaan serta dapat mengekalkan pekerjaan serta menyokong ekonomi negara dan bukannya sebagai penstrukturan semula pembiayaan sedia ada. Malah, ia juga sebagai salah usaha untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh syarikat PKS. 

 

Kerajaan juga telah bersetuju untuk menambah peruntukan kepada tabung Kemudahan Bantuan Khas (SRF) iaitu daripada RM2 bilion kepada RM5 bilion, untuk Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) peruntukan ditambah dari RM5.8 bilion kepada RM6.8 bilion dengan kadar pembiayaan dikurangkan daripada 8% setahun kepada 7% setahun. Bagi yang ingin memohon pembiayaan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) melalui imSME boleh membuat permohonan melalui platform imSME yang disediakan. imSME merupakan sebuah platform pertama di Malaysia yang menyediakan sumber rujukan bagi pembiayaan atau pinjaman PKS. Ia akan membuat pemadanan yang sesuai dengan keperluan kewangan perniagaan usahawan dengan produk pembiayaan atau pinjaman bersesuaian yang ditawarkan oleh bank atau institusi kewangan yang terlibat. 

 

Ciri – Ciri Pembiayaan

  • Bagi menangani masalah yang dihadapi oleh para pengusaha PKS, SME Bank yang merupakan agensi di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menawarkan pembiayaan khas dengan peruntukan sehingga RM 1.0 juta kepada syarikat PKS yang terjejas
  • Pembiayaan adalah di bawah dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang diperuntukkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan berbentuk modal kerja 
  • Tawaran permohonan pembiayaan sehingga 31 Disember 2020 
  • Ia turut disertai oleh bank perdagangan, Bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM
  • Tiada sebarang cagaran diperlukan untuk memohon pembiayaan ini
  • Kadar keuntungan pembiayaan adalah 3.5% setahun 
  • Tempoh pembiayaan adalah selama 5.5 tahun
  • SME Bank juga turut menangguhkan sementara komitmen pembiayaan buat pelanggan yang layak dan ini membolehkan pelanggan mengurus semula aliran tunai bagi menjamin kelangsungan operasi perniagaan. 
  • Jaminan sehingga 80% ke atas pembiayaan / pinjaman
  • Proses kelulusan permohonan mungkin mengambil sedikit masa memandangkan banyak syarikat PKS mula menghantar permohonan kepada pihak SME

 

Cara Memohon Melalui imSME

Terdapat empat cara untuk memohon iaitu :

  1. Beri maklumat mengenai pembiayaan / pinjaman yang diperlukan
  2. Beri maklumat tentang perniagaan yang dijalankan
  3. Membuat pendaftaran sekiranya belum daftar, sekiranya sudah mendaftar boleh log masuk ke akaun pengguna 
  4. Buat perbandingan dan pilih pembiayaan / pinjaman yang bersesuaian

 

Platform imSME boleh diakses menggunakan komputer peribadi, komputer riba, tablet serta telefon pintar dengan rangkaian internet dan pelayar web samada Internet Explorer, Google Chrome, Mozilla Firefox dan lain – lain. Ia boleh diakses 24 jam sehari cukup memudahkan pengguna. 

 

Maklumat Permohonan

Maklumat berikut diperlukan bagi mendapatkan padanan pembiayaan / pinjaman yang sesuai melalui imSME. Ia juga bertujuan sebagai pengesahan dan bagi memastikan peminjam merupakan pemilik, rakan kongsi, pemegang saham dan/atau pengarah syarikat yang sah.

 

  1. Nama Perniagaan
  2. Nombor Pendaftaran Perniagaan
  3. Maklumat Kewangan Perniagaan
  4. Nama Pemilik / Rakan Kongsi / Pemegang Saham / Pengarah

 

Pihak bank akan menghubungi terus syarikat PKS yang berjaya mendapat kelulusan pembiayaan dalam tempoh dua (2) hari bekerja.

 

Punca Permohonan Tidak Berjaya

  • Kegagalan permohonan mungkin kerana bank tidak mempunyai produk yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan PKS
  • Walau bagaimana pun, khidmat rundingan serta bimbingan akan diberikan oleh Pasukan Penasihat Kewangan imSME kepada PKS yang tidak berjaya 

 

Sekiranya syarikat – syarikat PKS ini tidak dibantu, berkemungkinan para usahawan akan menghadapi pelbagai masalah yang boleh menyebabkan perniagaan mereka gulung tikar sekiranya tempoh PKP dilanjutkan hingga suatu tempoh yang lama. Kadar pengangguran mungkin akan meningkat sekiranya syarikat – syarikat PKS ini tidak dapat terus beroperasi.

Syarikat PKS disarankan mengubah strategi perniagaan termasuklah menggunakan platform atas talian bagi menarik perhatian pelanggan serta mengadakan promosi yang lebih baik. Ia sebaik langkah bagi memastikan perniagaan dapat diteruskan sepanjang tempoh PKP. Penggunaan platform secara atas talian adalah lebih baik kerana kebanyakan masyarakat hari ini lebih memilih pembelian atas talian yang lebih mudah serta menjimatkan masa.

 

Maklumat Lanjut

Syarikat yang terkesan dengan pelaksanaan PKP boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Kemudahan Bantuan Khas (SRF) melalui imSME dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan menggunakan salah satu medium berikut:  

  • Talian 0378800088

Layari laman web www.imsme.com.my