.

PERMOHONAN i-CITRA

Memandangkan terdapat impak positif setelah pihak kerajaan melaksanakan program bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Lestari dan i-Sinar, satu lagi program telah diperkenalkan untuk kemudahan ahli KWSP iaitu i-Citra. Melalui i-Citra, ahli KWSP dibenarkan membuat pengeluaran maksima sebanyak RM 5,000 yang dibayar secara bulanan dengan kadar RM 1,000 bagi tempoh lima bulan.

 

Program i-Citra merupakan inisiatif bagi membantu rakyat di Malaysia berhadapan dengan cabaran globalisasi iaitu pandemik Covid-19 yang sangat memberi kesan terhadap kehidupan harian. Dengan membenarkan ahli membuat pengeluaran wang simpanan KWSP, ia sekurang – kurangnya dapat meringankan bebanan yang terpaksa dihadapi oleh ahli terutamanya yang kehilangan sumber pendapatan dalam tempoh pandemik ini. Ia secara tidak langsung membantu aliran tunai rakyat serta membantu negara meneruskan sektor ekonomi seperti biasa.

 

Ahli yang ingin membuat pengeluaran boleh membuat permohonan secara dalam talian mulai 12 Julai 2021 dan berakhir pada 30 September 2021. Setiap permohonan mestilah memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan iaitu mestilah berumur 55 tahun dan ke bawah dan terbuka kepada warganegara, bukan warganegara dan pemastautin tetap. Walau bagaimana pun, setiap ahli yang memohon mestilah mempunyai baki simpanan sekurang – kurangnya sebanyak RM 150 di dalam akaun KWSP semasa membuat permohonan.

 

Cara Membuat Permohonan

Sebagai panduan, anda boleh mengikuti langkah berikut untuk membuat permohonan:

  1. Layari laman web i-Citra di https://icitra.kwsp.gov.my
  2. Masukkan nombor kad pengenalan pemohon / nombor MyPR / passport / MyKAS dan klik butang TERUSKAN
  3. Pemohon akan menerima kod OTP melalui SMS ke nombor telefon bimbit yang didaftarkan
  4. Masukkan kod OTP yang diterima dan klik butan SAHKAN OTP
  5. Kemudian, pilih jumlah pengeluaran yang dikehendaki iaitu maksima RM 5,000 tertakluk kepada baki akaun
  6. Sekiranya memilih jumlah pengeluaran kurang dari RM 5,000, pemohon perlu menggerakan ikon pilihan mengikut kesesuaian
  7. Sistem akan memaparkan jadual bayaran dengan kadar maksima sebanyak RM 1,000 sebulan dan tertakluk baki terkini simpanan
  8. Kemudian, tekan butang TERUSKAN
  9. Lengkapkan maklumat pemohon serta maklumat pembayaran
  10. Pastikan ada memasukkan nombor akaun bank yang betul dan masih aktif (akaun simpanan / semasa)
  11. Klik butang TERUSKAN dan pastikan ada menyemak maklumat permohonan
  12. Sekiranya bersetuju, sila buat perakuan dengan menanda pada ruangan Terma & Syarat 
  13. Bagi meneruskan permohonan, tanda pada kotak Saya Bukan Robot
  14. Sistem akan memaparkan tulisan TERIMA KASIH bagi menunjukkan permohonan telah dihantar dan tekan butang Cetak & Simpan bagi mencetak atau menyimpan rekod

 

Biarpun wang simpanan KWSP merupakan wang persaraan di hari tua, namun wang tersebut merupakan keperluan mendesak yang sangat diperlukan oleh ahli pada ketika ini. Memandangkan ramai yang telah kehilangan sumber pendapatan, pengeluaran wang simpanan ini memberi impak yang positif terhadap kehidupan ahli KWSP sekeluarga. Sebanyak RM 30 bilion dapat disalurkan kepada ahli KWSP bagi meneruskan kelangsungan hidup menerusi program i-Citra ini.

 

Maklumat Lanjut

Sila hubungi pihak KWSP sekiranya memerlukan sebarang maklumat lanjut melalui :

  • Laman web rasmi KWSP
  • Hotline i-Citra di talian 03-89224848
  • Ask ELYA di laman web rasmi KWSP