.

Cara Mengurangkan Tekanan Darah Tinggi

Tekanan darah tinggi atau nama lainnya, hipertensi merujuk kepada bacaan tekanan darah seseorang yang lebih tinggi daripada purata tekanan darah yang sepatutnya. Tekanan darah diambil dengan mengukur bacaan sistolik dan diastolik, di mana bacaan tekanan darah yang normal ialah 120/80 mmHg. Angka 120 menunjukkan bacaan sistolik, manakala angka 80 menunjukkan bacaan diastolik. Nilai hipertensi pula bermula daripada 140/90 mmHg atau lebih tinggi. Tekanan darah diukur dengan menggunakan sphygmomanometer (tensimeter) yang boleh didapati di farmasi diiktiraf atau anda juga boleh mengunjungi mana-mana pusat kesihatan untuk mendapatkan bacaan yang lebih tepat.

Tekanan darah amat penting kerana ini menunjukkan keupayaan jantung untuk mengepam darah ke seluruh badan dan membekalkan oksigen. Walaupun tekanan darah sering berubah bergantung kepada aktiviti rutin harian, keadaan emosi, dan pemakanan, amat penting untuk mengetahui sekiranya perubahan tekanan darah itu normal atau tidak. Sebaiknya, anda digalakkan untuk memeriksa tekanan darah sebulan sekali untuk pencegahan awal sekiranya anda mempunyai masalah tekanan darah. Jika bacaan tekanan darah seseorang tidak normal, pelbagai masalah kesihatan boleh berlaku. 

Namun, perkara ini boleh diatasi dengan mengubah gaya pemakanan, melakukan aktiviti fizikal, dan juga mengamalkan gaya hidup sihat.

Pemakanan:

  1. Kurangkan pengambilan garam

Umum diketahui bahawa pengambilan garam berlebihan merupakan punca utama hipertensi. Pengambilan berterusan lama-kelamaan akan menyebabkan anda menghidap hipertensi. Garam tersembunyi biasanya terdapat di sambal, sos, kuah lauk, dan sebagainya. Penggunaan garam dalam masakan seharusnya dikurangkan dan anda boleh menggantikan garam kepada rempah untuk memastikan masakan tetap enak.

  1. Makan lebih banyak sayuran dan buah-buahan 

Tidak dapat dinafikan bahawa sayur-sayuran dan buah-buahan sering disyorkan untuk memastikan tubuh badan sentiasa sihat. Kandungan nutrien dan vitamin yang terdapat dalam buah dan sayur dapat membekalkan keperluan nutrisi yang mencukupi. 

 

Aktiviti fizikal

  1. Bersenam

Kita disyorkan untuk bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari dan 3 hari seminggu. Selain sihat untuk tubuh badan, bersenam juga membantu untuk menenangkan minda anda. Semasa bersenam, kita akan berpeluh dan daripada peluh itulah segala kotoran berlebihan dalam badan yang dipanggil toksin akan dikeluarkan melalui peluh. Untuk menjadikan aktiviti senaman tambah menarik, ajaklah rakan atau keluarga anda untuk sama-sama bersenam.

  1. 10,000 langkah sehari

Kadang kala, kita hanya mahu menjalankan aktiviti ringan untuk kekal sihat kerana senaman berlebihan juga tidak baik untuk kecergasan tubuh. Sebagai alternatif, anda boleh berjalan sebanyak 10 ribu langkah sehari bagi memastikan darah tetap mengalir dengan lancar ke seluruh tubuh. Rajin-rajinkan diri anda berjalan ke sana sini supaya anda dapat mencapai target 10 ribu langkah sehari.

 

Mengamalkan gaya hidup sihat

  1. Tidur yang mencukupi

Tekanan darah bergantung kepada tahap kesihatan dan juga aktiviti yang dilakukan. Semasa tidur, tubuh badan seseorang berada dalam keadaan rileks dan rehat sepenuhnya. Secara automatik, tekanan darah anda juga akan berada dalam keadaan stabil. Disebabkan itu, amat penting untuk mempunyai tidur yang cukup pada waktu malam kerana banyak penyakit dapat dielakkan.

  1. Kurangkan berat badan

Bentuk badan yang ideal bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan diri untuk berada di khalayak ramai, malah juga turut menjamin kesihatan tubuh badan. Berat badan berlebihan dapat meningkatkan risiko tekanan darah tinggi sebanyak dua hingga tiga kali ganda berbanding mereka yang tidak menghidap obesiti. Menurunkan berat badan secara perlahan dapat memberikan impak positif pada tekanan darah. 

  1. Berhenti  menghisap rokok atau vape

Nikotin yang terkandung dalam rokok dan vape akan diserap ke dalam tubuh dan akan membuatkan tekanan darah melonjak naik. Apabila tidak dikawal, nikotin akan merosakkan pembuluh darah iaitu arteri dan seterusnya meningkatkan risiko tekanan darah tinggi.

  1. Kurangkan minum minuman beralkohol 

Selain memabukkan, pengambilan alkohol juga akan memberi kesan kepada tekanan darah anda. Alkohol berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah secara mendadak dan menghasilkan degupan jantung yang tidak teratur. Tidak mustahil jika perokok mudah menghidap strok kerana kegagalan jantung yang berpunca daripada alkohol. Dalam sehari, had pengambilan alkohol adalah tidak lebih daripada dua minuman bagi lelaki dan satu minuman untuk wanita.

Mengawal tekanan darah supaya sentiasa normal memerlukan komitmen untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Dengan mengikuti langkah-langkah di atas, anda dapat memastikan jantung anda sentiasa sihat dan mengurangkan risiko komplikasi yang terkait dengan tekanan darah tinggi. Gaya hidup yang sihat dapat menjamin menjamin kesihatan sekali gus mengelakkan kita menghidapi penyakit kronik. 

Hipertensi dikenali sebagai “pembunuh senyap” kerana simptom-simptomnya jarang dijumpai pada peringkat awal. Ini menyebabkan ramai orang tidak didiagnos dan dirawat pada peringkat awal. Oleh itu, amat penting bagi seseorang untuk mengamalkan gaya hidup sihat agar bebas dari segala macam penyakit kerana mencegah lebih baik daripada merawat.