Cara Daftar Vaksin Covid-19 (Aplikasi MySejahtera)
Malaysia antara negara yang telah berjaya membawa masuk vaksin Covid-19 jenis Pfizer bagi menangani wabak ini dari terus menular. Vaksin ini akan diberikan secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia termasuklah bukan warganegara. Ia antara salah satu kaedah yang terbaik ketika ini bagi mengawal serta melindungi rakyat Malaysia dari diserang virus Covid-19. Kerajaan Malaysia juga yakin bahawa vaksin ini adalah selamat kerana ianya telah menjalani proses analisis serta kajian sebelum diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Pemberian suntikan ini membolehkan vaksin Covid-19 merangsang sistem imun badan agar boleh bertindak balas sekiranya terdedah pada virus SARS-CoV2. Pendaftaran vaksin Covid-19 boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera. Ia merupakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan dijalankan dalam tempoh setahun bermula Februari 2021 hingga Februari 2022. Malaysia telah berjaya mendapatkan bekalan vaksin daripada 5 pengeluar vaksin di luar seluruh negara iaitu sebanyak 66.7 juta dos.
Nama Pengeluar Vaksin
Terdapat 5 pengeluar vaksin untuk Covid-19 iaitu :
- Pfizer / BioNTech
- AstraZeneca
- CanSino Biologics
- Sputnik V
- Sinovac
Fasa Pemberian Vaksin
Pemberian vaksin Covid-19 akan dilaksanakan dalam 3 fasa iaitu :
Fasa 1
Tempoh masa : Februari hingga April 2021
Jumlah penerima : 500,000 individu
Sasaran penerima : Petugas barisan hadapan yang terdiri dari :
- i) petugas kesihatan di hospital kerajaan dan juga swasta
- ii) petugas perkhidmatan penting dan pertahanan
Fasa 2
Tempoh masa : April 2021 hingga Ogos 2021
Jumlah penerima : 9.4 juta individu
Sasaran penerima : i) Baki kakitangan petugas kesihatan, perkhidmatan penting dan
pertahanan
- ii) Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas, berisiko tinggi dan mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi,
penyakit jantung, obesiti dan Orang Kelainan Upaya
(OKU)petugas kesihatan di hospital kerajaan dan juga swasta
Fasa 3
Tempoh masa : Mei 2021 hingga Februari 2022
Jumlah penerima : 13.7 juta individu
Sasaran penerima : Penduduk berumur 18 tahun dan ke atas (termasuk bukan warganegara)
Cara Mendaftar Vaksin Covid-19
Setiap individu perlu membuat permohonan dengan mendaftar nama sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera. Cara mendaftar adalah seperti berikut :
-
- Buka aplikasi MySejahtera anda.
- Tekan butang Close di bahagian atas sebelah kanan terlebih dahulu
- Pada menu utama, klik butang COVID19 Vaccination
- Tekan butang Vaccine for (Nama Anda)
- Semak dan sahkan maklumat diri yang dipaparkan
- Kemudian, tekan butang butang Confirm jika tiada perubahan
- Sekiranya terdapat sebarang perubahan maklumat, klik butang Edit
- Masukkan maklumat yang betul kemudian tekan butang Save
- Tekan butang Next untuk paparan seterusnya
- Klik butang Click Here
- Jawab empat soalan yang terpapar, i) soalan minat untuk diberi vaksin ii) sejarah penyakit iii) sama ada pemohon berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) iv) alamat rumah terkini
- Klik butang Hantar
- Paparan akan memaparkan status pendaftaran telah berjaya dilakukan
Kategori Tidak Sesuai Menerima Vaksin
Terdapat beberapa kategori individu yang tidak sesuai menerima vaksin Covid-19 iaitu :
- Yang mempunyai alergi / alahan serius terhadap ubat / makanan / persekitaran sehingga perlu mendapatkan rawatan hospital
- Yang mengalami alahan / alergi yang serius sejurus menerima dos pertama vaksin
- Yang pernah menjalani pemindahan / transplan organ seperti buah pinggang atau sel stem darah dalam masa 3 bulan sebelum menerima vaksin
- Yang sedang menjalani rawatan kanser seperti kimoterapi, radioterapi dan imunoterapi
- Yang menghidap penyakit HIV dengan kandungan sel darah putih CD4 kurang 200 cells/mL
- Ibu yang merancang untuk hamil atau sedang hamil
- Yang sedang diserang demam berpunca dari jangkitan virus / bakteria
- Yang sedang menerima rawatan antibodi monoclonal atau plasma darah dalam masa 3 bulan sebelum menerima vaksin sebagai rawatan untuk Covid-19
- Yang mempunyai sel darah platelet di bawah 50,000 per microliter
Program suntikan vaksin ini akan melibatkan sebanyak 80 peratus populasi negara atau 26.5 juta individu bagi membentuk herd immunity. Penyumbang utama bagi pembentukan imuniti berkelompok ini adalah terdiri daripada kumpulan Fasa 3 iaitu individu yang sihat dan berumur 18 tahun ke atas. Setiap individu yang telah mendaftar perlu mengaktifkan notifikasi supaya dapat menerima makluman terkini tentang status vaksinasi.
Maklumat Lanjut
Sila layari laman web rasmi vaksin Covid-19 di https://www.vaksincovid.gov.my/ untuk sebarang maklumat lanjut.