.

Bantuan Prihatin Rakyat (BPR)

Pada tahun 2021, tiada lagi Bantuan Sara Hidup (BSH) akan disalurkan kepada penerima seperti sebelum ini. Walau bagaimana pun, penerima BSH terdahulu tidak perlu gusar kerana mereka tetap akan menerima bantuan dari pihak kerajaan. Skim bantuan yang akan diberikan dikenali sebagai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan akan diterima oleh 8.1 juta orang berbanding 4.3 juta penerima BSH. 

 

Kerajaan sentiasa ingin memberikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyatnya. Oleh sebab itu, BSH ditambah baik dengan memperkenalkan BPR. Syarat yang ditetapkan untuk penerima BPR pula telah ditambah baik membolehkan lebih ramai rakyat berpeluang mendapat bantuan tersebut termasuklah golongan bujang.

Setiap individu bujang bakal menerima BPR sebanyak RM 350 bagi yang berpendapatan RM 2,500 sebulan. Had umur bujang juga telah diturunkan iaitu dari umur 40 tahun kepada 21 tahun, berpeluang mendapat wang bantuan tersebut. Pendapatan keluarga / isi rumah di bawah RM 2,500 akan menerima bantuan sebanyak RM 1,200 jika memiliki seorang anak dan akan menerima sebanyak RM 1,800 jika memiliki dua orang anak atau lebih.

Ibu bapa / isi rumah yang berpendapatan antara RM 2,501 hingga RM 4,000 akan menerima bantuan sebanyak RM 800 jika memiliki seorang anak dan akan menerima sebanyak RM 1,200 jika memiliki dua orang anak atau lebih. Bagi yang berpendapatan RM 4,001 hingga RM 5,000 pula akan menerima sebanyak RM 500 jika memiliki seorang anak atau RM 750 bagi yang memiliki lebih dua orang anak.

Bantuan yang diberikan ini sebagai salah satu inisiatif kerajaan yang begitu prihatin terhadap kesusahan rakyat terutamanya bagi golongan B40 yang rata – rata terkesan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat wabak Covid-19 ini. Biarpun BSH ditukar kepada BPR, namun kebajikan rakyat Malaysia tetap dititik beratkan oleh pihak kerajaan sehingga sanggup memperuntukkan sebanyak RM 6.5 bilion bagi melaksanakan skim Bantuan Prihatin Rakyat ini berbanding Bantuan Sara Hidup yang hanya memperuntukkan sebanyak RM 5 bilion sahaja.