.

Bantuan Musim Tengkujuh RM 600 RISDA

Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) merupakan skim bantuan yang dikhusukan buat para pekebun kecil RISDA dan penoreh bukan pemilik akibat kejatuhan harga getah. Ianya merupakan inisiatif pihak RISDA dalam membantu pekebun getah kecil dan juga penoreh bukan pemilik. Penoreh bukan pemilik merupakan individu yang menoreh getah di ladang getah milik orang lain. Setiap pekebun kecil dan penoreh bukan pemilik layak mendapat bantuan sebanyak RM 600 dan ianya akan dibayar secara 2 peringkat iaitu pada bulan Disember 2020 dan juga Januari 2021. Walau bagaimana pun, bayaran yang dibuat adalah berdasarkan kepada kelulusan permohonan.

Pekebun kecil merupakan individu yang berdaftar dengan RISDA dan segala maklumat terperinci terdapat di dalam sistem maklumat pekebun kecil RISDA. Bantuan Musim Tengkujuh akan diberikan kepada pekebun kecil berdasarkan maklumat yang disimpan dalam sistem maklumat tersebut. Bagi penoreh bukan pemilik pula, tiada sebarang data disimpan dalam sistem maklumat RISDA dan mereka perlu mengisi borang Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk mendapatkan bantuan. Mulai 1 September 2020 hingga 31 Oktober 2020 pemohon boleh mula membuat permohonan BMT.

Pemohon perlu datang ke pejabat RISDA yang berhampiran bagi mendapatkan borang permohonan BMT ini dan dihantar semula ke pejabat RISDA setelah semua maklumat lengkap diisi. Oleh kerana pandemik Covid-19 masih belum berakhir, pemohon dinasihatkan membuat temujanji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan di pejabat RISDA kerana jumlah kehadiran pemohon di pejabat RISDA bergantung kepada keluasan ruang dengan penjarakkan fizikal sekurang – kurangnya 1 meter antara satu sama lain.

Pekebun kecil getah yang memiliki tanah berstatus selain getah tetapi menanam getah layak membuat permohonan BMT. Walau bagaimana pun, pegawai RISDA akan membuat lawatan ke tanah tersebut bagi membuat pengesahan sebelum memproses kelulusan permohonan BMT yang telah dibuat.

Syarat Kelayakan 

Pemohon yang terdiri dari pekebun kecil getah layak menerima bantuan sekiranya memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti berikut :

  • Merupakan warganegara Malaysia
  • Merupakan pekebun kecil yang berdaftar dengan RISDA
  • Mempunyai tanah berkeluasan 0.1011 hektar hingga 2.5 hektar 
  • Merupakan pemilik tanah yang sah atau mendapatkan pengesahan dari pemilik tanah yang sah bagi penoreh bukan pemilik
  • Hanya 1 Lot untuk seorang pekebun kecil sahaja
  • Penerima layak menerima bantuan hanya sekali sahaja
  • Mempunyai Kad Permit Autoriti Getah (PAT-G) bagi penoreh bukan pemilik sahaja dan kad tersebut mestilah masih sah

 

Senarai Dokumen Yang Diperlukan

Berikut merupakan salinan dokumen yang diperlukan semasa membuat permohonan BMT iaitu :  

  • Kad pengenalan pemohon, asal dan salinan 
  • Salinan kad pengenalan pemilik tanah
  • Salinan kad pengenalan pekebun kecil (SIC) (jika berkenaan)
  • Geran lot tanah yang diusahakan, asal dan salinan
  • Salinan kad PAT-G 
  • Salinan buku akaun bank yang masih aktif

 

Cara Membuat Permohonan (Pekebun Kecil Getah Selain dari RISDA)

  • Mengisi borang BMT 2020-01
  • Surat pengesahan dari salah satu Agensi berikut :
  1. Lembaga Getah Malaysia (LGM)
  2. Jabatan Pertanian Sarawak (JPS)
  3. Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)
  4. FELCRA
  5. KESEDAR
  6. KETENGAH
  7. Lain-lain sumber Agensi / Jabatan
     

Cara Membuat Permohonan Bagi Tanah Berstatus NCR

  • Bagi pekebun kecil yang memiliki tanah berstatus NCR dan diusahakan sendiri perlu mengisi Borang BMT2020-01 (NCR) dan mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Pertanian Sarawak bagi status pekebun kecil dan mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Tanah dan Saliran (JTS) bagi status tanaman atas lot tanah.
  • Bagi pekebun kecil yang memiliki tanah berstatus NCR dan diusahakan oleh pihak RISDA perlulah mengisi Borang BMT 2020-01 (Pemilik) dan tidak perlu mendapatkan sebarang pengesahan samada daripada Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) atau Jabatan Tanah dan Saliran (JTS).

 

Cara Membuat Permohonan Bagi Pemilik Tanah Yang Telah Meninggal Dunia

Bagi waris pemilik tanah yang telah meninggal dunia dan masih belum membuat penukaran hakmilik, waris juga boleh membuat permohonan BMT dengan mengisi Borang Pengakuan Kematian dan Waris-Warisnya – Borang TS20(A) dan juga Surat Sumpah oleh Pihak Yang Berkonsi / Waris – Waris / Pemegang Amanah dan mengemukakan salinan Sijil Kematian sebagai bukti pengesahan.

 

Cara Membuat Permohonan Bagi Yang Berkongsi Tanah Dalam Satu Lot

Bagi yang berkongsi tanah dalam satu lot, hanya salah seorang pemilik sahaja dibenarkan membuat permohonan dan perlu mengisi borang BMT 2020-01 serta Borang TS20 (B) yang merupakan Surat Sumpah oleh Waris / Pihak Yang Berkongsi / Pemegang Amanah sebagai bukti pemohon telah mendapat persetujuan dari ahli kongsi yang lain. Pihak RISDA tidak bertanggungjawab untuk mengagihkan bantuan yang diterima pemohon kepada ahli lain.

 

Cara Membuat Semakan Permohonan

Pemohon boleh membuat semakan kelulusan secara dalam talian iaitu seperti berikut : 

  • Layari portal rasmi RISDA di http://webapp3.risda.gov.my
  • Masukkan nombor kad pengenalan pemohon
  • Tekan butang Semak dan status permohonan bantuan akan dipaparkan

 

Maklumat Lanjut

Sebarang maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi sekretariat BMT di talian 03 – 42512125 / 03-42512135 / 03-42512023.