Ahli KWSP Boleh Mengeluarkan RM 500 Sebulan Dari Akaun 1
Pada April 2020 yang lalu, kerajaan telah membenarkan ahli KWSP untuk membuat pengeluaran sebanyak RM 500 sebulan melalui skim i-Lestari. Skim ini membolehkan para ahli KWSP mengeluarkan wang RM 500 secara berkala setiap bulan dengan maksmimum 12 bulan pengeluaran. Walau bagaimana pun, semasa Belajawan 2021 kali ini juga, kerajaan turut membenarkan ahli KWSP membuat pengeluaran dari Akaun 1 sebanyak RM 500 sebulan dan boleh dilakukan selama 12 bulan.
Nilai RM 500 sebulan mungkin kecil nilainya bagi golongan yang berada. Namun, seseorang yang telah kehilangan pekerjaan serta ada mulut yang perlu disuap, perlu diisi dengan makanan setiap hari, nilai RM 500 amat besar nilainya dan amat bermakna. Tidak semua orang memahami situasi seseorang yang telah diberhentikan kerja kerana majikan tidak lagi mampu membayar gaji pekerja akibat Covid-19 yang masih lagi aktif di negara ini.
Kehilangan pekerjaan membuatkan ramai yang terpaksa menanggung beban kos hidup yang tinggi di alam sejagat pada hari ini. Tiada sebarang pendapatan lain yang dapat membantu untuk meneruskan kehidupan adalah sangat memeritkan. Justeru, kerajaan sangat memahami situasi ini dan membenarkan ahli KWSP yang pernah mencarum setiap bulan untuk mengeluarkan wang simpanan mereka.
Ahli yang telah diberhentikan kerja dan tiada pekerjaan, boleh membuat permohonan pengeluaran wang KWSP dari Akaun 1 iaitu sebanyak RM 500 setiap bulan. Pengeluaran ini dibenarkan sehingga 12 bulan dengan anggaran pengeluaran adalah sebanyak RM 4 bilion. Wang yang dikeluarkan adalah untuk kegunaan keperluan harian bagi 600,000 ahli meneruskan kehidupan.
Permohonan pengeluaran wang KWSP ini hanya boleh dibuat pada tahun hadapan iaitu mulai Januari 2021. Pengeluaran dari Akaun 1 dan juga skim i-Lestari akan melibatkan pengeluaran wang sehingga RM 12,000 dari akaun ahli. Kedua – dua pengeluaran ini dapat mengurangkan kos sara hidup yang semakin tidak menentu pada hari ini. Sekurang – kurangnya wang yang dikeluarkan dapat memberi sedikit kelegaan kepada ahli sambil mencari peluang pekerjaan di tempat lain untuk menampung keperluan hidup pada masa akan datang.