.

Petrol Price in Malaysia

Kerajaan baru iaitu kerajaan Pakatan Harapan hari ini telah memperkenalkan semula langkah penstabilan harga minyak petrol dan diesel bagi mengawal harga runcit jualan kepada pengguna. Pada pilihanraya umum yang lalu, kerajaan Pakatan Harapan telah membuat manifesto di mana subsidi kerajaan bagi harga minyak petrol dan diesel diperkenalkan. Ia bertujuan untuk memansuhkan kadar pengapungan harga petrol dan diesel berdasarkan kepada harga pasaran dunia. Walaubagaimanapun, pada ketika ini harga bahan petroleum ini menunjukkan trend yang tidak menentu samada turun ataupun naik. Justeru, Menteri Kewangan Malaysia telah membuat satu pengumuman terbaru semasa sidang media pada 24 Disember 2018 bahawa kerajaan akan menggunakan semula kaedah apungan mengikut harga pasaran dunia secara mingguan. Harga pasaran semasa ini akan menggunakan mekanisma “managed float” dan harga runcit mingguan akan diumumkan setiap minggu. Setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri, kaedah apungan ini mula diguna pakai mulai 1 Januari 2019.

Terdahulu, semasa pimpinan kerajaan Barisan Nasional, kaedah ini turut digunakan sejak 29 Mac 2017 dan harga runcit jualan bahan petroleum sentiasa berubah setiap minggu. Namun, pada bulan Jun 2018 pula, kaedah ini telah digantikan pula dengan Mekanisma Harga Automatik (APM). Mekanisma terbaru ini menyebabkan semua harga jualan runcit petrol dan diesel akan ditetapkan oleh pihak kerajaan selaras dengan pemberian subsidi di mana harga minyak RON 95 dikekalkan pada harga RM 2.20 seliter manakala bagi harga diesel pula dikekalkan pada harga RM 2.18 seliter. Walaubagaimapun, pemberian subsidi ini terkecuali bagi petrol RON 97 yang akan mengikut harga pasaran minyak dunia semasa dan terkini. Seluruh rakyat Malaysia akan menikmati harga petrol yang lebih baik serta menguntungkan dengan adanya mekanisma pengapungan harga secara mingguan ini. Harga runcit petrol dan diesel akan menurun sekiranya harga pasaran dunia telah pun menurun.

Pada awalnya kaedah apungan secara mingguan ini ditangguhkan kerana pihak kerajaan perlu membuat kajian terhadap permintaan pihak Petroleum Dealers Association of Malaysia (PDAM) yang tidak bersetuju dengan penetapan harga runcit produk petroleum. PDAM meminta agar kerajaan meneliti semula kadar margin pengusaha stesen minyak di mana pada ketika itu ia menggunakan formula APM untuk menetapkan harga runcit petroleum. Penetapan harga secara mingguan yang digunakan oleh kerajaan akan memberi impak kepada para pengusaha stesen minyak kerana margin keuntungan yang diterima tidak menentu. Namun, setelah perkara ini diangkat ke peringkat Jemaah Menteri, harga runcit mingguan telah dipersetujui dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Ia juga selaras dengan pelaksanaan manifesto kerajaan PH semasa PRU-14 dahulu yang ingin meningkatkan taraf ekonomi rakyat Malaysia khususnya bagi golongan B40. Pengumuman harga runcit baru akan diumumkan setiap hari Jumaat dan ia akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 pagi Sabtu sehingga hari Jumaat berikutnya.