.

Cara Mendaftar Mengundi

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bertanggungjawab mendaftarkan individu yang merupakan warganegara Malaysia sebagai pemilih yang melayakkan mereka menyertai proses pemilihan wakil bagi menyuarakan pendapat mereka dalam Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat. Pendaftaran sebagai pemilih ini adalah selaras dengan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan. Semenjak SPR ditubuhkan, urusan pendaftaran pemilih sentiasa dilaksanakan tanpa gagal. Jika dahulunya pendaftaran hanya boleh dilakukan secara bermusim iaitu setahun sekali dalam tempoh 21 hingga 42 hari, namun kini pendaftaran boleh dilakukan sepanjang masa sejak 16 Julai 2002.

Setiap warga negara mempunyai hak untuk memilih kerajaan pemerintah dan ianya dilakukan melalui pemilihan wakil rakyat yang akan mewakili suara mereka di Dewan Rakyat dan juga Dewan Undangan Negeri. Sebelum anda dibolehkan  untuk mengundi wakil rakyat pilihan anda sama ada bagi pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, anda perlu mendaftar terlebih dahulu sebagai pemilih. Sekiranya anda belum mendaftar, anda tidak layak untuk mengundi semasa pilihan raya diadakan kerana nama anda tidak tersenarai sebagai pemilih. 

 

Terdapat dua (2) jenis pendaftaran pemilih iaitu :

  1. Pendaftaran Baru
  • Permohonan adalah daripada warganegara yang memohon untuk pertama kali sebagai pemilih 

 

  1. Pendaftaran Menukar Alamat dan Pusat Mengundi
  • Pemilih yang telah berdaftar boleh membuat permohonan pertukaran alamat tempat tinggal terkini. Pusat mengundi pemilih adalah berdasarkan kepada alamat yang didaftarkan

 

SPR boleh mendaftarkan dua jenis pemilih mengikut undang – undang pilihan raya iaitu :

  1. Pemilih Biasa
  • Merupakan pemilih berdaftar dan perlu hadir sendiri ke pusat mengundi semasa pilihan raya

 

  1. Pengundi Tidak Hadir (PTH)

Pengundi Tidak Hadir merupakan kategori pemilih yang terdiri dari anggota tentera bersama pasangan, anggota perkhidmatan awam yang bertugas di luar negara bersama pasangan yang menetap bersama serta para pelajar sepenuh masa yang berada di luar negara bersama pasangan yang menetap bersama. Ia termaktub dalam Peraturan 2, Peraturan – Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan dibenarkan membuat undi secara pos. 

 

Tanggal 16 Julai 2019, semasa pembentangan di Dewan Rakyat, perubahan had umur pemilih telah diubah daripada 21 tahun ke 18 tahun. Selaras dengan itu, sistem pendaftaran pemilih baru yang dahulunya dilakukan secara manual, kini boleh dilakukan secara online sahaja. Ia lebih mudah serta cepat dan sangat relevan dan seiring dengan perubahan zaman yang menuju ke arah dunia digital. Sistem ini dikenali sebagai MySPR memudahkan para pemilih membuat pendaftaran secara online sahaja tanpa perlu mengisi borang dan hadir ke kaunter SPR.

 

Syarat – Syarat Am  

 

  • Mestilah merupakan warganegara Malaysia dan memiliki kad pengenalan MyKad
  • Telah berumur 18 tahun
  • Tinggal menetap di kawasan pilihan raya yang ingin didaftarkan
  • Tidak hilang kelayakan dan tidak memiliki halangan undang – undang yang dikuatkuasakan

 

Syarat Tambahan Pendaftaran MySPRDaftar

 

  • Mempunyai nombor telefon bimbit yang sah
  • Alamat emel yang sah dan masih aktif
  • Gambar hadapan MyKad
  • Gambar swafoto pemilih bersama MyKad
  • Format gambar mestilah dalam bentuk png, jpg atau jpeg dengan ukuran saiz sekurang – kurangnya 500kb

 

 

Cara – Cara Membuat Pendaftaran

  1. Layari portal rasmi SPR di https://www.sprdaftar.spr.gov.my/ atau https://mysprdaftar.spr.gov.my dan klik butang “MYSPR DAFTAR”.
  2. Klik butang “PERMOHONAN AKAUN BARU”.
  3. Masukkan segala maklumat peribadi yang diperlukan seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit, emel, kata laluan, pengesahan kata laluan, soalan keselamatan bersama jawapan keselamatan, alamat lengkap serta memuat naik gambar hadapan MyKad dan gambar swafoto pemohon bersama MyKad. Masukkan kod captcha yang tertera dan tandakan pada kenyataan “Saya telah membaca syarat – syarat kelayakan..”
  4. Setelah lengkap mengisi permohonan, klik butang “Hantar”.
  5. Satu notifikasi akan dipaparkan seperti ini, “Adakah anda pasti untuk menghantar permohonan ini?” dan tekan butang “PASTI” untuk meneruskan pendaftaran.
  6. Permohonan yang telah dihantar akan diproses oleh pegawai SPR dan verifikasi akan dilakukan. Anda akan menerima emel pengesahan yang dihantar melalui alamat emel yang telah didaftarkan.
  • Anda perlu memeriksa emel di ruangan Spam, sekiranya tidak menerima emel di Inbox
  • Setiap permohonan yang dihantar antara jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari (hari bekerja), ia akan diproses pada hari yang sama
  • Walau bagaimana pun, ia akan diproses pada hari berikutnya sekiranya permohonan dihantar selepas jam 12.00 tengahari
  • Permohonan yang dibuat pada hari Sabtu, Ahad atau Hari Kelepasan am juga akan diproses pada hari berikutnya
  1. Anda perlu klik pada pautan URL yang dihantar melalui emel pengesahan bagi mengaktifkan akaun anda. Pastikan anda memasukkan nombor kad pengenalan serta kata laluan yang betul di laman pengaktifan.
  2. Klik butang “Mohon TAC” dan anda akan menerima nombor TAC melalui SMS. Masukkan nombor TAC yang diterima dan klik butang “Hantar” untuk log masuk ke MySPR Daftar.
  3. Masukkan nombor kad pengenalan, kata laluan serta kod captcha. Kemudia, klik butang “LOG MASUK”.
  4. Setelah sistem berjaya membuat pengesahan, dasboard pengguna akan dipaparkan
  5. Ruangan dashboard pengguna ini akan memaparkan status pengguna dan bergantung kepada rekod yang telah disimpan oleh SPR. 

 

Bagi yang memerlukan maklumat lanjut berkaitan pendaftaran pemilih menggunakan sistem MySPR, anda boleh menghubungi pihak SPR di talian hotline 03-8892 7018 (waktu pejabat). Sekiranya kesemua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun telah mendaftar sebagai pemilih, seramai 22 juta dijangka akan mengundi pada Pilihanraya Umum Ke-15 berbanding hanya 14.0 juga pengungi semasa Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu. Jalankan tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia.