.

Senarai Hitam PTPTN

Individu yang tidak membuat bayaran balik pinjaman PTPTN berisiko disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Jika ini terjadi, individu terbabit tidak dapat membuat perjalanan ke luar negara selagi tidak menjelaskan pembayaran pinjaman seperti yang ditetapkan. Bagi yang memiliki tunggakan bayaran balik pinjaman dan telah disenarai hitam oleh PTPTN, peminjam tidak dibenarkan memperbaharui passport serta dihalang untuk ke luar negara. Bukan sahaja peminjam tidak dapat ke luar negara, malah nama peminjam turut disenarakan dalam rekod CCRIS sekiranya tidak membuat bayaran dalam tempoh masa 6 bulan seperti mana yang dijadualkan.

Cara Membuat Semakan Senarai Hitam PTPTN

Peminjam PTPTN boleh membuat semakan senarai hitam melalui salah satu kaedah berikut:

  • Laman web rasmi Jabatan Imigresen Malaysia iaitu http://sspi2.imi.gov.my
  • Laman web rasmi PTPTN iaitu di https://www.ptptn.gov.my/
  • Talian careline PTPTN iaitu 03-2193 3000
  • Datang ke mana – mana kaunter PTPTN / Jabatan Imigresen Malaysia yang terdekat

 

Peminjam yang telah disenarai hitam dan perlu ke luar negara atas urusan yang tidak dapat dielakkan perlu membuat rundingan dengan pihak PTPTN dalam tempoh 7 hari sebelum tarikh ke luar negara. Ini supaya dapat mengelakkan peminjam dari disekat oleh pegawai bertanggungjawab di lapangan terbang atau di pintu sempadan. Peminjam yang ingin mengeluarkan namanya dari senarai hitam PTPTN perlu menjelaskan bayaran tunggakan pinjaman serta kos yang dikenakan sebelum nama peminjam boleh dikeluarkan daripada senarai hitam. 

 

Sekiranya peminjam mampu, adalah lebih baik menyelesaikan keseluruhan bayaran pinjaman. Walau bagaimana pun, peminjam boleh membuat rundingan dengan PTPTN untuk membuat penstrukturan semula bayaran balik pinjaman atau cara lain yang dipersetujui oleh kedua – dua belah pihak. Pembayaran boleh dibuat secara potongan gaji atau secara direct debit yang sangat mudah. PTPTN akan mengenakan tindakan saman terhadap peminjam yang culas membuat bayaran balik pinjaman.

 

Selepas Pilihanraya Umum 14 (PRU 14), Pakatan Harapan telah memansuhkan dasar senarai hitam para peminjam PTPTN. Seramai 433,000 peminjam yang telah disenarai hitam turut dikeluarkan nama mereka dari senarai hitam dan boleh membuat perjalanan ke luar negara tanpa perlu menjelaskan tunggakan pinjaman mereka terlebih dahulu. Pakatan Harapan juga turut memberi sedikit kelonggaran kepada peminjam yang berpendapatan RM 4,000 dan ke bawah dengan memberi penangguhan bayaran pinjaman.

Memandangkan masih ramai peminjam yang ingkar membuat bayaran balik pinjaman, berkemungkinan besar PTPTN akan melaksanakan semula sekatan ke luar negara bagi peminjam yang ingkar. Kaedah sekatan ke luar negara dilihat sebagai kaedah yang paling berkesan untuk PTPTN mendapatkan semula dana pinjaman yang telah diberikan kepada para peminjam PTPTN. Selain itu, cadangan kaedah lain juga akan diperkenalkan bagi mendapatkan semula bayaran pinjaman termasuklah menyekat peminjam dari memperbaharui lesen, cukai jalan, lesen perniagaan, menyiarkan gambar peminjam di khalayak ramai serta turut menyenarai hitam ahli keluarga daripada mendapat pinjaman PTPTN.

 

Sekiranya setiap peminjam tidak membuat bayaran pinjaman dalam tempoh masa yang ditetapkan akan menyukarkan pihak PTPTN untuk memberi pinjaman pendidikan kepada individu yang layak pada masa hadapan. Ini akan menjejaskan prestasi PTPTN dan PTPTN terpaksa menanggung hutang kira – kira RM 76 bilion dalam tempoh 20 tahun yang akan datang. Sekiranya PTPTN tidak lagi dapat memberi pinjaman pendidikan berkemungkinan pelajar terpaksa bergantung kepada institusi kewangan swasta untuk pinjaman pendidikan dan berkemungkinan juga ramai pelajar yang sukar memperolehi pembiayaan untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.