.

Semak Senarai Hitam Bank

Setiap kali bank atau institusi kewangan menerima permohonan pinjaman dari pemohon samada untuk pinjaman peribadi, kad kredit, pinjaman kenderaan atau sebagainya, beberapa tapisan perlu dilakukan sebelum meneruskan proses pinjaman. Kadangkala pemohon sendiri tidak mengetahui punca sebenar setiap permohonan yang dihantar sukar mendapatkan kelulusan. Sekiranya permohonan anda ditolak oleh mana – mana institusi kewangan atau bank, prestasi kredit anda akan terjejas kerana bank atau insitusi kewangan lain dapat melihat rekod berkenaan. Setiap penolakan memberi tanda negatif kepada pihak bank dan ini akan menyukarkan pemohon mendapat kelulusan pinjaman. Walau bagaimana pun, pemohon boleh membuat semakan terlebih dahulu bagi mengetahui kemungkinan permohonan anda akan diluluskan atau sebaliknya dengan membuat pemeriksaan laporan kredit melalui agensi yang berdaftar. 

Terdapat dua cara bagi menyemak serta mengenal pasti samada mempunyai rekod senarai hitam bank iaitu dengan membuat semakan melalui CCRIS dan CTOS. Laporan kredit yang bersih membolehkan pinjaman diluluskan dengan mudah tanpa sebarang penolakan. Berikut merupakan dua cara bagi menyemak laporan kredit peminjam iaitu :

 

  • CCRIS
  1. CCRIS merupakan singkatan bagi Central Credit Reference Information dan merupakan sistem pangkalan data yang mengumpul, memproses, menyimpan serta menghasilkan semua maklumat berkaitan laporan kredit pinjaman individu dari institusi kewangan atau bank. 
  2. Laporan kredit ini digunakan sebagai salah satu sumber rujukan kepada institusi kewangan atau bank mengenai sejarah kredit sedia ada peminjam atau bakal peminjam, malah ia turut memaparkan pembiayaan tertunggak sekiranya ada. 
  3. CCRIS ini dikawal selia oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia yang telah ditubuhkan di bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958 dan telah beroperasi sejak tahun 1958.
  4. Kebiasaannya laporan kredit yang disediakan terdiri dari maklumat sepert kredit belum jelas, akaun di bawah pemerhatian khas dan permohonan untuk kredit.
  5. Mana – mana individu atau syarikat boleh memohon untuk mendapatkan laporan kredit masing – masing. 

 

  • CTOS
  1. CTOS adalah singkatan dari Credit Tip-Off Service yang merupakan sebuah agensi pelaporan kredit dan mempunyai satu sistem merekod status kredit individu. 
  2. Mana – mana pihak yang bertanggungjawab memberi kemudahan kredit boleh menyenarai hitam nama pelanggan mereka ke dalam sistem CTOS sekiranya terdapat tunggakan bayaran atau ingkar dalam membuat bayaran.
  3. CTOS akan memaparkan rekod kredit atau pinjaman individu bagi tempoh 24 bulan termasuklah pemilikan syarikat dan pengarah, maklumat tindakan undang – undang, serta testimoni daripada syarikat yang pernah berurusan dengan peminjam.

 

Terdapat tiga (3) buah agensi pelaporan kredit (APK) yang berdaftar di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 telah mendapat kelulusan dari Bank Negara Malaysia iaitu :

 

  •  Credit Bureau Malaysia Sdn Bhd
  •  CTOS Data Systems Sdn Bhd
  •  RAM Credit Information Sdn Bhd

 

 

 

 

 

 

Laporan kredit ini digunakan untuk menilai kepercayaan kredit peminjam semasa membuat kajian semula kredit secara berkala. Adalah sangat penting bahawa setiap maklumat yang terdapat dalam laporan kredit adalah terkini dan tepat bagi mengelakkan sebarang masalah semasa membuat permohonan pinjaman. Institusi kewangan atau bank yang merupakan pelanggan agensi pelapor kredit boleh mendapatkan laporan kredit pemohon atau peminjam secara langsung dengan skor yang sepatutnya. Secara tidak langsung ia memudahkan pihak bank atau institusi kewangan memproses serta membuat keputusan sebelum memberi kelulusan pinjaman kepada pemohon serta dapat mengurangkan berlakunya kes penipuan.

 

Berdasarkan laporan kredit yang dikeluarkan oleh CCRIS dan CTOS, pihak bank akan membuat kiraan serta mengira komitmen bulanan sedia ada dan komitmen yang baru. Sekiranya terdapat sebarang kelewatan bayaran selama 3 bulan atau lebih, akaun anda akan di letakkan di bawah pemerhatian khas. Sekiranya nama pemohon disenaraikan dalam rekod CCRIS dan juga CTOS, maka peluang untuk membuat pinjaman menjadi agak sukar selagi nama tidak dibersihkan dalam rekod sediada. Walau bagaimana pun, hakikat sebenar kewujudan CCRIS dan CTOS bukanlah merupakan satu sistem yang menyenarai hitam peminjam, ia sekadar rekod bagi setiap aktiviti peminjam semasa membuat pembayaran balik pinjaman samada ianya membuat pembayaran berkala seperti mana yang ditetapkan atau tidak. Rekod inilah yang akan digunakan oleh pihak bank bagi membuat penilaian sebelum membuat keputusan untuk memberi kelulusan pinjaman kepada pemohon.