i-Citra KWSP
Sejak setahun yang lalu, kerajaan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memperkenalkan dua program pengeluaran wang simpanan ahli yang dikenali sebagai i-Sinar dan i-Lestari. Kedua – dua program ini membenarkan ahli membuat pengeluaran simpanan berdasarkan syarat yang ditetapkan. Program ini telah diwujudkan bagi membantu ahli KWSP meneruskan kehidupan di era pandemik Covid-19 kerana terdapat sebilangan besar pekerja telah diberhentikan kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Akibat daripada pandemik Covid-19 yang masih melanda negara ini, ramai yang terjejas dan kehilangan sumber pendapatan. Program i-Lestari dan i-Sinar yang diperkenalkan pada tahun lalu telah membuktikan ianya sangat berkesan dalam membantu rakyat meneruskan kehidupan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, kedua program ini telah pun berakhir beberapa bulan yang lalu.
Memandangkan kerajaan sangat prihatin dengan keadaan rakyat pada hari ini, maka program bersama KWSP telah diteruskan. Program i-Citra telah diperkenalkan semasa Perdana Menteri membuat pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). Melalui i-Citra, ahli KWSP dibenarkan membuat pengeluaran sebanyak RM 1,000 sebulan dengan tempoh maksima RM 5,000. Walau bagaimana pun, ia tertakluk kepada simpanan terkini ahli.
Permohonan akan dibuka mulai 15 Julai 2021 dan ahli yang terkesan boleh membuat permohonan secara dalam talian di icitra.kwsp.gov.my. Ahli KWSP yang berjaya akan menerima bayaran pertama pada bulan Ogos 2021. Seramai 12.6 juta ahli KWSP akan menerima manfaat ini dengan anggaran RM 30 bilion. Biarpun wang simpanan KWSP ini adalah milik ahli, namun sebaiknya ahli membuat keputusan yang bijak sebelum membuat pengeluaran wang simpanan tersebut. Ini kerana wang tersebut sepatutnya menjadi simpanan ahli menjelang hari persaraan kelak. Namun, jika wang simpanan tersebut adalah sangat diperlukan, maka rancanglah perbelanjaan anda sebaik mungkin bagi mengelakkan anda berbelanja untuk perkara yang tidak sepatutnya. Program i-Citra adalah untuk membantu ahli KWSP meneruskan kelangsungan hidup dan wang tersebut tidak seharusnya digunakan untuk perkara – perkara yang salah.