.

BANTUAN OKU

OKU adalah singkatan perkataan Orang Kurang Upaya, di mana individu tersebut memiliki kelainan upaya, ketidakdayaan atau kehilangan upaya yang kekal. Ia juga merujuk kepada individu yang memiliki kelemahan fizikal, kesihatan mental, deria, kognitif serta intelektual. Seseorang yang dikategorikan dalam golongan ini mengalami keterbatasan penglibatan dalam pelbagai kegiatan. Golongan OKU tidak mampu untuk melakukan sesuatu perkara secara normal dan mereka ini mungkin memiliki salah satu kekurangan dari segi samada fizikal atau mental atau kedua – duanya sekali.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah dipertanggungjawabkan untuk memberi bantuan kepada golongan OKU ini. Mereka adalah layak untuk menerima elaun setiap bulan bagi OKU yang tidak bekerja, bekerja atau OKU yang sedang terlantar dan sakit yang kronik. Oleh itu, bagi membantu golongan ini dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang merupakan agensi di bawah KPWKM menyediakan beberapa bantuan khusus buat golongan OKU. Antara bantuan yang diberikan kepada golongan OKU adalah seperti berikut :

 

Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja

  • Kadar bantuan sebanyak RM 250 sebulan akan diberikan kepada individu OKU
  • Ia diberikan bagi membantu golongan OKU yang tidak berupaya untuk melakukan sebarang pekerjaan untuk meneruskan kehidupan
  • Bantuan ini diberikan bagi menggalakkan individu OKU tersebut terus tinggal bersama – sama keluarga

       

        Kriteria dan syarat khusus bantuan

  • Merupakan warganegara Malaysia yang berumur 16 tahun dan ke atas
  • Mestilah menetap dan bermastautin di Malaysia
  • Merupakan pemegang kad OKU / JKM yang sah
  • Tidak mampu dan tidak berupaya untuk bekerja
  • Bukan penghuni di Institut kendalian JKM atau pusat jagaan harian /  tinggal di kediaman yang menyediakan perkhidmatan / perkhidmatan secara percuma 
  • Bukan pelatih di Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)
  • Pendapatan bulanan tidak melebihi kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Per Kapita Semasa atau merupakan kes – kes yang berkeperluan adalah layak dipertimbangkan dengan syarat telah mendapat kelulusan dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)

 

  1. Bantuan Elaun Pekerja Cacat
  • Kadar bantuan sebanyak RM 400 sebulan akan diberikan kepada individu OKU
  • Elaun ini diberikan kepada bagi menggalakkan individu OKU meneruskan pekerjaan dan membolehkan mereka hidup berkari serta menjadi salah seorang ahli masyarakat yang produktif 

 

        Kriteria dan syarat khusus bantuan

  • Merupakan warganegara Malaysia yang berumur 16 tahun dan ke atas
  • Mestilah menetap dan bermastautin di Malaysia
  • Merupakan pemegang kad OKU / JKM yang sah
  • Bekerja di Malaysia
  • Berpendapatan bulanan sebanyak RM 1200 dan ke bawah merupakan kes – kes yang berkeperluan adalah layak dipertimbangkan dengan syarat telah mendapat kelulusan dari KPKM

 

  1. Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar
  • Bantuan sebanyak RM 350 sebulan akan diberikan kepada penjaga individu OKU
  • Ia bagi meringankan beban keluarga / penjaga yang terpaksa menjaga individu OKU terbabit
  • Bantuan ini juga diberikan bagi menggalakkan ahli keluarga / penjaga menjaga individu OKU yang sedang sakit / terlantar sakit / berhadapan dengan sakit kronik

 

        Kriteria dan syarat khusus bantuan

  • Merupakan warganegara Malaysia 
  • Mestilah menetap dan bermastautin di Malaysia
  • Pemohon merupakan penjaga sepenuh masa yang akan memberikan penjagaan rapi kepada individu OKU yang sedang terlantar sakit / pesakit kronik yang memerlukan pemerhatian serta pengawasan rapi serta penjagaan khusus
  • Berpendapatan bulanan tidak melebihi RM 3000 atau merupakan kes – kes yang berkeperluan adalah layak dipertimbangkan dengan syarat telah mendapat kelulusan dari KPKM

 

  1. Bantuan Geran Pelancaran (GP)
  • Bantuan ini diberikan kepada golongan OKU yang ada keinginan untuk berniaga, berkemahiran dan mampu berdikari menjana pendapatan sendiri.
  • Ia sebagai satu galakan untuk golongan ini memperkukuhkan taraf ekonomi dalam bidang perniagaan
  • Geran pelancaran yang diberikan adalah sebanyak RM 2,700 dan diberi sekaligus
  • Setiap 3 bulan, pihak JKM akan memantau prestasi perniagaan yang dijalankan

 

  1. Bantuan Alat Tiruan / Alat Sokongan (BAT)
  • Bantuan ini diberikan kepada individu OKU yang tidak mampu untuk memiliki alat bantuan sokongan di mana alat bantuan tersebut digunakan sebagai alat sokongan untuk bergerak atau menjalani kehidupan seharian
  • Alat bantuan tersebut mestilah telah mendapat pengsyoran dari Pegawai Perubatan atau pegawai JKM bergantung kepada keperluan serta ketidakupayaan seseorang OKU
  • Bantuan diberikan berdasarkan kepada harga sebenar alat berkenaan
  • Jenis alat bantuan yang dibenarkan adalah kerusi roda, anggota palsu, alat bantuan pendengaran dan alat keperluan lain yang dibenarkan

 

  1. Bantuan IPTA
  • Golongan OKU juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi
  • Bahagian Pendidikan Khas yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia turut memberi elaun khas sebanyak RM 150 sebulan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, malah kelas khas turut disediakan buat kanak – kanak OKU
  • Bagi yang berpeluang melanjutkan pelajaran samada di IPTA, Politeknik serta Kolej Komuniti, bantuan diberikan sebanyak RM 5,000 setahun untuk yuran pengajian atau RM 20,000 bagi sepanjang tempoh pengajian. Wang saku pula diberikan sebanyak RM 300 sebulan

 

Kriteria dan syarat khusus bantuan

  • Merupakan warganegara Malaysia 
  • Merupakan pemegang kad OKU / JKM yang sah
  • Bantuan ini tidak mengambil kira taraf pendapatan sebagai salah satu syarat kelayakan
  • Mestilah melanjutkan pelajaran di salah satu institusi di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) samada di IPTA, Politeknik dan Kolej Komuniti dan kursus yang dipilih mestilah diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA
  • Melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma dan ke atas sahaja
  • Bagi program Sijil jangka panjang di Politeknik atau Kolej Komuniti boleh dipertimbangkan untuk bantuan ini

 

Kategori Orang Kurang Upaya (OKU)

Terdapat 7 kategori OKU yang dipertimbangkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi pendaftaran iaitu :

 

  1. Kurang Upaya Pendengaran
  2. Kurang Upaya Penglihatan
  3. Kurang Upaya Pertuturan
  4. Kurang Upaya Fizikal
  5. Kurang Upaya Pembelajaran
  6. Kurang Upaya Mental
  7. Kurang Upaya Pelbagai

 

Cara Memohon Bantuan Elaun

  • Permohonan dibuat di mana – mana cawangan pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat samada di Negeri, daerah, jajahan atau bahagian
  • Mengisi borang JKM 18 yang diperolehi dari cawangan pejabat JKM di seluruh negara atau memuat turun dari laman web JKM

 

Dokumen Sokongan

Terdapat beberapa dokumen yang diperlukan semasa memohon bantuan elaun bulanan iaitu seperti berikut :

 

  • Sesalinan MyKad Pemohon
  • Sesalinan MyKad / Sijil Kelahiran ahli keluarga yang tinggal bersama
  • Sesalinan Kad OKU atau Slip Pendaftaran Sementara (Bagi Pemohon OKU)
  • Laporan Perubatan samada dari hospital atau klinik kesihatan kerajaan (Jika Berkaitan)
  • Penyata pendapatan atau surat pengesahan pendapatan dari majikan pemohon / surat akuan pendapatan (jika bekerja sendiri)
  • SOCSO / KWSP / Pencen / Buku Pelaburan dan lain – lain (Jika Ada)

 

Setiap permohonan bantuan akan disemak serta diteliti secara terperinci oleh pegawai – pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum bantuan disalurkan. Ia bertujuan bagi mengelakkan bantuan diberikan kepada golongan yang salah dan hanya diberikan kepada golongan yang benar – benar layak sahaja. Permohonan yang dikemukakan akan diproses dalam tempoh dua minggu. Manakala keputusan bagi permohonan tersebut akan dimaklumkan dalam masa satu bulan dari tarikh permohonan yang lengkap diterima.

 

Pihak kerajaan akan terus menyediakan serta menyalurkan bantuan kepada golongan OKU untuk meringankan bebanan kos sara hidup mereka. Oleh sebab itu, golongan OKU adalah digalakkan untuk berdaftar dengan JKM supaya data dan maklumat mengenai golongan ini disimpan dalam data JKM. Ia memudahkan kerajaan untuk merancang serta melaksanakan program latihan serta intensif yang bersesuaian buat golongan ini.