BANTUAN AM PERSEKUTUAN
Kerajaan Malaysia terus menyediakan pelbagai kemudahan bantuan buat rakyat Malaysia yang memerlukan. Selaras dengan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat terus mengorak langkah dalam memberi bantuan kepada golongan yang terbabit. Pelbagai jenis bantuan telah diwujudkan dan salah satunya adalah Bantuan Am Persekutuan (BA) yang diberikan kepada golongan miskin serta keluarga yang tidak berkemampuan.
Bantuan Am Persekutuan ini adalah bertujuan meringankan bebanan yang terpaksa ditempuhi oleh golongan yang kurang bermampuan. Selain itu, ia juga bagi menampung keperluan serta perbelanjaan buat keluarga yang berkenaan untuk meneruskan kelangsungan hidup yang lebih baik dan sempurna. Bantuan ini dilihat sebagai inisiatif jangka pendek kerajaan membantu yang kurang bernasib baik sehingga golongan ini mampu berdikari sendiri. Golongan yang akan menerima bantuan ini adalah berdasarkan beberapa faktor yang diambil kira seperti jumlah bilangan anak / tanggungan, tahap ketidakupayaan ketua keluarga atau ahli keluarga, keadaan serta kelengkapan rumah serta perbelanjaan harian pemohon atau keluarga.
Syarat – syarat Memohon Bantuan Am Persekutuan
- Merupakan seorang warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia
- Memiliki pendapatan bulanan sebanyak RM 930 di Semenanjung Malaysia, RM 990 di Sabah dan Sarawak serta RM 1170 di Wilayah Persekutuan Labuan berdasarkan Pendapatan bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) semasa
- Merupakan keluarga miskin atau golongan yang memerlukan dan tidak menerima sebarang bantuan lain
Ciri – Ciri Bantuan Am Persekutuan
- Kadar bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM 100 sebulan untuk seorang dan maksima RM 350 sebulan bagi sebuah keluarga
- Tempoh bantuan diberikan selama 12 bulan atau setahun sahaja
- Bantuan diberikan kepada kumpulan sasar atau keluarga miskin yang tidak menerima bantuan lain dari JKM
Cara membuat permohonan
- Permohonan boleh dibuat dengan mengisi salah satu borang berikut yang boleh diperolehi dari mana – mana cawangan pejabat Kebajikan Masyarakat
- Borang Permohonan JKM18
- Borang Kemaskini Maklumat JKM 20
- Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuat siasatan serta penilaian terlebih dahulu setelah permohonan diterima dan didaftarkan. Ia bagi mengesahkan setiap permohonan adalah memenuhi syarat dan bantuan diberikan berdasarkan kelayakan yang ditetapkan
- Pemohon perlu membawa bersama dokumen – dokumen sokongan seperti salinan MyKad pemohon, salinan MyKad suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama, salinan Sijil Kelahiran anak / ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada) serta lain-lain dokumen yang berkaitan