.

Bagan Lalang, Sepang

Bagan Lalang merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di kawasan pesisiran pantai daerah Sepang, Selangor dan terkenal sebagai tempat pembiakan hidupan akuatik. Kawasan persekitaran Bagan Lalang terdiri dari hutan paya bakau dan juga tanah liat tempatan, oleh itu industri pembuatan batu – bata agak terkenal di sini. Oleh kerana kawasan paya bakau di sini terlindung dari deruan ombak, maka tidak hairanlah ia sesuai menjadi tempat pelabuhan seterusnya menjalankan aktiviti perikanan.

Tempat Menarik di Bagan Lalang Dan Aktiviti Yang Boleh Dilakukan

Begitu banyak aktiviti yang boleh dilakukan jika berkunjung ke Bagan Lalang ini. Malah, terdapat juga tempat makan yang enak dengan hasil laut yang begitu segar. Pengunjung boleh menikmati pelbagai makanan yang enak jika berkunjung ke Bagan Lalang. Antara tempat menarik dan aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti di bawah.

Pantai Bagan Lalang

Pantai Bagan Lalang terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur iaitu sekitar 25 minit sahaja perjalanan. Ia merupakan pantai terbaik yang berada di pantai barat daya negeri Selangor dan ianya merupakan yang paling hampir dengan bandaraya Kuala Lumpur. Pantai Bagan Lalang tidak memiliki pasir putih yang halus, malah air lautnya yang berlumpur pastinya sangat berbeza dengan pantai yang terdapat di sebelah Pantai Timur. Walau bagaimanapun, ia tetap dikunjungi oleh orang ramai di kala hujung minggu.

 

Jika sudah berada di pantai Bagan Lalang, pastinya pelbagai aktiviti boleh dilakukan. Antara yang menarik adalah aktiviti menangkap ketam. Selain itu, pengunjung boleh berkhemah di sini sambil menikmati tiupan bayu laut yang mendamaikan. Jika pantai ini surut, pengunjung boleh berjauh sejauh 300 hingga 400 meter ke tengah laut dan bermain layang – laying sambil menikmati angin pantai. Maka tidak hairanlah terdapat begitu banyak peniaga yang menjual layang – layang. 

Jeti Memancing Wak Sempuh

Hanya perlu  membayar sebanyak RM 4 sahaja, kaki pancing sudah boleh membuat balingan rod memancing ke tepian laut. Jeti Memancing Wak Sempuh sering menjadi tumpuan ramai kerana harga bayaran yang agak murah serta terdapat pelbagai jenis ikan yang boleh dipancing. Antara ikan yang terdapat di sini adalah ikan jenahak, siakap, senangin dan banyak lagi.

Fishing Buddies Fishing Pond

Terdapat kolam pancing ikan di Bagan Lalang ini. Ia dikenali dengan nama Fishing Buddies Fishing Pond dan pengunjung boleh memancing dengan bayaran sebanyak RM 100 sejam. Biarpun bayarannya agak mahal, namun pengunjung dijanjikan akan mendapat sebanyak 5 ekor ikan di kolam ini. Saiz kolam yang agak besar sangat memuaskan hati pengunjung yang datang.

Jeti Nelayan Sepang

Pengunjung boleh memancing dari Jeti Nelayan Sepang sambil menikmati pemandangan laut yang indah di sini. Biarpun hanya memancing di jeti, namun terdapat banyak ikan – ikan yang boleh dipancing di sini.

Rumah Rakit Hobbit Sekroy

Rumah Rakit Hobbit Sekroy menawarkan kemudahan penginapan lengkap dengan pakej memancing. Pengunjung boleh memancing di sini bersama rakan dan keluarga tersayang. Turut menyediakan kemudahan asas seperti bilik air, dapur, ruang rehat, ruang tinjau dan juga tempat untuk bbq. Tempahan perlu dibuat lebih awal supaya tidak kecewa.

MS Family Boat House

Bagi kaki pancing, pastinya seronok jika dapat  memancing dari atas rumah rakit sambil bersantai bersama keluarga. Terdapat rumah rakit iaitu MS Family Boat House di sini yang boleh diakses menaiki bot dari Jeti Sirip Biru. Kemudahan asas yang lengkap disediakan untuk keselesaan seisi keluarga termasuklah elektrik dan bekalan air.

Avani Sepang Gold Coast Resort

Avani Sepang Golf Coast Resort merupakan sebuah resort yang begitu terkenal di sini. Ia terletak di atas laut, berbentuk seperti pokok kelapa jika dilihat dari atas dan seakan – akan Palm Island, Dubai. Avani Sepang Gold Coast Resort bukan sekadar penginapan, namun turut menyajikan pemandangan indah matahari terbenam jika bermalam di sini.

Restoran Bayu Malam Wak Lan Ikan Bakar & Seafood

Antara tempat makan yang boleh anda cuba jika berada di Bagan Lalang, adalah Restoran Bayu Malam Wak Lan Ikan Bakar & Seafood. Terletak di tepi laut, pastinya pengunjung dapat menikmati hidangan makan malam sambil menghirup udara segar dari laut. Restoran ini dibuka seawal jam 5.30 petang dan sering menjadi tumpuan ramai kerana terdapat banyak pilihan menarik serta makanan lautnya juga segar – segar.

Restoran Senandung Malam Seafood

Restoran yang juga menyediakan makanan laut di sini adalah Restoran Senandung Malam Seafood. Harga dan makanan yang ditawarkan di sini cukup berbaloi untuk dinikmati para pengunjung yang datang. Ia terletak berhampiran Bagan Lalang Beach Resort pastinya memudahkan tetamu yang menginap di sini untuk menjamu hidangan makanan laut yang segar pada harga berpatutan.

Bagan Lalang Sea View Restaurant

Restoran ini terletak di hadapan pantai dan sentiasa menjadi tumpuan ramai kerana memiliki pemandangan yang begitu menarik dan indah sekali. Tambahan pula angin yang bertiup dari arah laut sangat mendamaikan. Menu paling menarik di sini adalah sup ketam yang begitu enak serta pilihan ikannya juga agak banyak.

Tiram Liar Segar 

Penggemar tiram segar pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menikmatinya di sini. Dengan harga serendah RM 10 – RM 15, pengunjung boleh merasai keenakan tiram liar yang dikutip segar. Tiram liar segar boleh dibeli di Jetty Sirip Biru One Stop Fishing Centre yang dibuka mulai jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam.

River Cruise

Pengunjung boleh menaiki river cruise dengan menaiki bot dan menyusuri Sungai Sepang Besar selama satu jam dan pengunjung berpeluang melihat pusat ternakan sangkat ikan kerapu, jenahak, siakap dan merah. Pengunjung juga boleh memberi makan ikan – ikan dalam sangkar dan sekiranya ingin membawa pulang ikan dalam sangkar, caj akan dikenakan mengikut berat timbangan.