|
Pix Of The Day
Tak sempat jumpa ayah 26 Mar 2009 Zaitie Satibi dan Mohd Fauzi Abdullah KUANTAN: Firasat buruk anak lelaki seorang pemandu teksi yang tiba-tiba berasa tidak sedap hati, menjadi kenyataan apabila bapanya menemui ajal selepas kenderaan dipandu dihempap sebuah lori membawa muatan pasir di Persimpangan Bunga Cengkih, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan di sini, semalam. ![]() Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, Othman Muhammad, 58, dari Kuala Pahang, Pekan, mati di tempat kejadian berikutan parah di kepala akibat tersepit di tempat duduk hadapan teksinya. Turut terbunuh dalam kemalangan ngeri itu penumpang teksi yang berada di tempat duduk belakang, Anne Vinodhini Vincent Muthu, 36, dari Ulu Tiram, Johor. Ketika kejadian, lori pasir dari arah Kemaman, Terengganu, menuju pusat bandar itu dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit lalu terbabas memasuki laluan bertentangan. Kenderaan berat itu kemudian merempuh teksi dipandu mangsa yang ketika itu berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Semambu. Akibat rempuhan itu, teksi terbabit berpusing lalu melanggar sebuah Proton Waja di lorong kiri sebelum dihempap lori pasir yang terbalik. Anak kedua mangsa, Mohd Kamarulzaman Othman, 28, berkata, beberapa jam sebelum kejadian dia berasa tidak sedap hati kerana sudah dua minggu tidak pulang ke kampung bertemu arwah. "Justeru, saya mengambil kesempatan waktu makan tengah hari untuk bertemu ayah. "Saya mencari ayah di tempat kerjanya di kawasan perhentian teksi di pusat bandar. Entah mengapa hati saya gelisah dan berkobar-kobar hendak makan dengan arwah tengah hari tadi. "Bagaimanapun, saya hampa apabila rakan ayah memberitahu dia sudah keluar menghantar penumpang sebelum saya makan bersendirian dan kembali memulakan tugas sebagai penghantar surat," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini. Mohd Kamarulzaman berkata, dia mengetahui berita kematian bapanya selepas dihubungi abangnya, Mohd Zaiman, 34, ketika pulang ke rumah kira-kira jam 5 petang. "Saya begitu terkilan kerana hajat untuk bertemu dan makan bersama ayah tidak kesampaian selepas abang memaklumkan ayah terbunuh dalam kemalangan. "Hancur luluh hati saya mengenangkan ayah kerana dia seorang lelaki penyayang dan amat rapat dengan semua empat anaknya," katanya. Manakala, adik mangsa, Abu Bakar, 52, berkata hatinya juga tidak tenteram sejak seminggu lalu dan merasakan seolah-olah bakal menerima berita buruk. "Sewaktu dalam situasi yang tidak tenteram itu, saya hanya teringatkan abang dan rasa ingin selalu dekat dengannya. Malah, saya juga susah untuk tidur malam kerana teringatkan abang. "Mungkin kerana kami amat rapat sejak kecil dan disebabkan ikatan kekeluargaan yang teguh itu membuatkan saya dapat merasakan abang bakal ditimpa kemalangan dahsyat itu," katanya. Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam daerah, Asisten Superintendan Goh Ewe Gee, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan pihaknya masih menyiasat punca kejadian. Menurutnya, pemandu lori terbabit berusia 60 tahun dari Semambu Baru di sini, hanya cedera ringan dan dirawat di HTAA, manakala pemandu Proton Waja berusia 58 tahun dari Kuantan hanya mengadu sakit-sakit badan dan dibenarkan pulang. Katanya, polis sudah mengambil keterangan pemandu lori terbabit untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian. ^ top
|
Custom Search
|
|
Site best viewed with Mozilla Firefox or Safari Copyright © The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Balai Berita 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur, Malaysia. |