|
Entertainment
Konsert kedua AF6 belum ada keajaiban 1 Apr 2008 Zul Husni Abdul Hamid Ramli MS minta seminggu lagi untuk memastikan pelajarnya memperbaiki kelemahan. KRITIKAN pedas yang dilemparkan ketika konsert pertama cuba ditebus menerusi konsert kedua Akademi Fantasia ke-6 (AF6), Sabtu lalu namun malangnya keajaiban yang diimpikan masih belum berkunjung. Walaupun beberapa pelajar sudah mula menyerlahkan potensi masing-masing selain sudah dapat mengawal perasaan sendiri ketika berada di pentas, kelemahan tetap ada dan ia masih perlu diperbaiki. Ketika tuntutan serta desakan penonton untuk melihat keajaiban berlaku pada AF6, pengetuanya, Ramli MS pula menghulurkan janji untuk 'menyembuhkan penyakit' yang sedang menyerang anak didiknya. Janji Ramli, konsert ketiga Sabtu ini akan menampilkan persembahan peserta yang lebih meyakinkan malah menuju kematangan hasil tunjuk ajar daripada tenaga pengajar berpengalaman. Akui pengarah muzik terkenal itu, konsert kedua AF6 masih memperlihatkan kelemahan peserta yang terbawa perasaan gugup hingga gagal mempamerkan persembahan yang diinginkan. “Ada di antara mereka memberikan persembahan lebih baik ketika sesi latihan tetapi menjadi sebaliknya apabila berada di pentas AF6. "Konsert kedua juga memperlihatkan tenaga pengajar mula ‘bekerja’ dengan menerapkan elemen visual dalam persembahan dan ini adalah permulaan untuk mereka mengadaptasi dengan sesuatu yang baru. Berikan saya masa seminggu lagi," katanya ketika ditemui selesai konsert kedua AF6 berakhir di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Kata Ramli, proses pembelajaran bergerak semakin pantas dan perlahan-lahan mereka menyerap pelbagai elemen baru termasuk menekankan elemen drama dan tarian untuk memperkemaskan persembahan. Baginya, disebabkan apa yang diberikan itu masih terlalu baru secara tidak langsung ia juga menguji keupayaan pelajar untuk menyerap segala ilmu yang dicurahkan dan diluahkan di pentas ketika konsert mingguan. "Itu yang saya ingin lihat dalam persembahan mereka pada minggu akan datang namun ia belum ditemui sepenuhnya pada konsert kedua ini. Mereka berjaya menyerap ilmu yang diberikan ketika diari tetapi apabila di pentas hanya 30 peratus daripada apa diajar dicurahkan. "Banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan itu dan satu daripadanya adalah tumpuan berbeza kerana apabila di pentas mereka berdepan dengan pelbagai ujian," katanya. Melihat peserta dari Kota Kinabalu, Sabah, Stracie Angie Anam atau Stacy sebagai antara pelajar yang pantas menerap segala ilmu yang dicurahkan, Ramli berkata, dia berpuas hati dengan persembahan gadis itu ketika membawakan lagu Rela. "Dia bagus kerana cepat belajar, malah segala teguran yang diberikan ketika sesi latihan disimpan dalam ingatan dan dibuktikan ketika di pentas. Disebabkan itu, penonton dapat merasa apa yang disampaikannya menerusi lagu itu. Tetapi, sebahagian besar pelajar tidak menyerap teguran yang diberikan ketika beraksi," katanya. Ramli juga tidak menolak tumpuan sesetengah pelajar yang lebih terarah kepada pergerakan tarian hingga terlupa untuk mengimbangi persembahan vokal lalu menyumbang kepada kelemahan di pentas. Situasi itu ketara dalam persembahan Nadia yang membawakan lagu popular Rihanna, Umbrella hingga mendapat teguran pengkritik yang terdiri daripada Ning Baizura, Aidit Alfian dan Adlin Aman Ramlie kerana kurang berpuas hati dengan sebutannya. "Terlalu banyak pergerakan perlu diingat dan tuntutan lagu itu juga yang memerlukan beraksi dengan penuh tenaga membuatkan dia terlupa vokal juga perlu diutamakan. "Bagaimanapun, dia berusaha keras memperbaiki kelemahan dan memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri berdepan dengan penonton," katanya. Turut memuji kesungguhan Siti Norsaida Taruddin atau Saida yang berusaha keras melawan kerinduan terhadap empat anaknya yang memerlukan belaian kasih sayang seorang ibu, Ramli berkata, ia antara punca yang sedikit menghalang peserta itu untuk membuktikan bakatnya. "Penonton harus memahami situasi Saida. Bertahun dia menjalani kehidupan sebagai suri rumah tangga, namun apabila diterima menyertai AF6 segala-galanya berubah. Ibu mana yang tidak merindui anaknya? "Tetapi saya akui dia antara pelajar yang begitu rajin dan bekerja keras ketika di kelas,” kata Ramli. Noktah perjuangan Ika PELUANG kedua yang diberikan penonton selepas persembahan pada konsert pertama kurang memberangsangkan tidak dimanfaatkan Ika Nabila Abdul Rahim atau Ika lantas mengundang padah apabila tersingkir pada konsert kedua. Membawakan lagu Malu Tapi Mahu nyanyian Dina, peserta berusia 19 tahun itu juga tidak berjaya meyakinkan tiga pengkritik yang turut menyatakan dia wajar meninggalkan AF6 berdasarkan mutu persembahannya pada malam itu. Ning melihat komposisi lagu itu terlalu besar berbanding kemampuan Ika, manakala Aidit pula berpendapat dia perlu membuat lebih persediaan ketika membawakan nota rendah. Adlin juga melihat penyampaian Ika berhadapan pelbagai masalah meskipun gadis kelahiran Pulau Pinang itu mempunyai seraut wajah yang cukup manis untuk memancing undian penonton. Turut berada dalam kedudukan goyah adalah pelajar kelahiran Grik, Perak, Muhammad Shauqi Naaim Salmi atau Naim yang diamanahkan membawakan lagu Aspalela. Lakonan dalam nyanyian seperti yang dituntut lagu itu tidak mampu dilakukannya dengan berkesan, membuatkan penyampaian peserta itu tidak hidup. Turut mengundang kritikan adalah pemilihan pakaian yang tidak bersesuaian dengan genre lagu. Entah mengapa hingga musim keenam masalah itu masih berlaku. Di mana silapnya? Apakah pelajar gagal membawa pakaian yang diberikan atau bahagian pakaian Astro yang kurang peka dengan tuntutan lagu hingga sanggup melakukan eksperimen dan ada di antara mereka tidak ubah seperti badut di atas pentas? ^ top
|
Custom Search
|
|
Site best viewed with Mozilla Firefox or Safari Copyright © The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Balai Berita 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur, Malaysia. |