.

Raiz Investment Review

Aplikasi Raiz masih agak baru di Malaysia. Ia merupakan satu aplikasi pelaburan mudah alih mikro yang pertama diperkenalkan dan sangat memudahkan pelabur membuat pelaburan dengan modal yang kecil. Hampir seluruh rakyat Malaysia boleh membuat simpanan dari peringkat awal, membuat pelaburan dengan lebih kerap serta mencapai tahap kewangan yang lebih baik. Raiz Malaysia bekerjasama dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta Raiz Invest Australia Limited dan turut tersenarai di Bursa Saham Australia (ASX)

 

Ciri – Ciri Utama Raiz

  • Pembundaran – Raiz akan membundarkan setiap transaksi kepada ringgit yang   terdekat
  • Pelaburan   – Raiz akan melaburkan baki wang setiap transaksi ke dalam   pelbagai portfolio (seperti yang ditentukan pelabur)
  • Tiada kadar minimum – pelabur boleh membuat pelaburan mengikut kemampuan
  • Tiada caj komisen – tiada caj komisen dikenakan ke atas pelabur
  • Pelaburan adalah secara pecahan

 

Aplikasi Raiz membolehkan pelaburan dibuat serendah RM5 dan ianya telah dilancarkan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada Julai lalu. Sejak Raiz diperkenalkan di Malaysia, ramai yang telah mendaftar dengan Raiz sehingga 100,000 dan seramai 17,000 pengguna aktif dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 4 juta.

 

Pada masa ini Raiz hanya membenarkan penggunaan kad debit Maybank sahaja bagi sebarang urusan deposit serta pengeluaran wang. Raiz akan mengumpul setiap pembelian yang dibuat menggunakan kad debit dan bundarkan ke ringgit terdekat. Sebagai contoh, jika anda membelanjakan wang sebanyak RM 5.60, secara automatik Raiz akan membundarkan kepada RM 6.00 dan anda akan mempunyai baki sebanyak RM 0.40 sen. Jika anda membuat pembelian sebanyak RM 11.00, Raiz akan membundarkan perbelanjaan anda ke RM 12.00 di mana baki RM 1.00 akan dipertimbangkan untuk pelaburan.

 

Raiz juga akan mengumpulkan kesemua baki dari setiap pembelian anda. Sekiranya pengumpulan wang mencecah RM 5.00 (atau jumlah yang dipilih pelabur), Raiz akan menggunakan wang tersebut untuk pelaburan.

 

3 Jenis Portfolio

Pelaburan Raiz terdiri daripada 3 jenis portfolio iaitu konservatif, sederhana dan agresif. Setiap portfolio ini terdiri daripada dana unit amanah oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Raiz akan mengesyorkan portfolio yang bersesuaian berdasarkan maklumat peribadi pelabur serta matlamat pelaburan. Walau bagaimana pun, pelabur boleh menukar portfolio sekiranya tidak bersetuju dengan pengesyoran Raiz. 

Anda boleh melabur menggunakan lebihan wang atau juga melabur menggunakan pelaburan automatik dengan menetapkan jumlah yang ingin dilaburkan. Pelaburan boleh dibuat secara berkala pada setiap hari, mingguan, setiap dua minggu atau setiap dua bulan bergantung kepada kehendak pelabur.

 

 

 

Caj Perkhidmatan Yang Rendah

Caj perkhidmatan yang rendah iaitu serendah RM 1.50 sahaja sekiranya anda mempunyai jumlah pelaburan di bawah RM 6,000 sebulan. Bagi yang melabur melebihi RM 6,000, anda akan dikenakan yuran bulanan sebanyak 0.025%. Konsep yang diperkenalkan Raiz ini membolehkan anda melabur dengan jumlah yang kecil secara berkala untuk jangka masa yang panjang.

 

Meskipun anda mempunyai hanya 5 sen sahaja daripada baki akhir perbelanjaan, anda masih boleh melalui aplikasi Raiz yang akan dilaburkan dalam dana unit  amanah yang diuruskan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

 

Kesimpulan

Aplikasi ini sangat mudah digunakan dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat meskipun mempunyai pengetahuan yang cetek dalam dunia pelaburan. Idea yang diperkenalkan oleh PNB ini dapat menggalakkan rakyat Malaysia memperkasakan ekonomi keluarga serta memudahkan membuat perancangan kewangan yang lebih berhemah. Pelabur tidak perlu ragu dan khuatir dengan aplikasi Raiz ini kerana ianya berdaftar, mempunyai lesen pelaburan yang sah dan membuat bayaran kepada setiap pelabur. Dengan hanya menggunakan kad debit Maybank, anda boleh melabur pada bila – bila masa sahaja dan mendapatkan hasil dalam tempoh yang ditetapkan.